David O’Leary calon terbaru FAM

Kelana Jaya: Bekas pemain pertahanan Republik Ireland dan Arsenal, David O’Leary, 56, adalah nama terbaru disenarai pendek Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjadi calon ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Sebelum ini, lima calon iaitu bekas kapten Perancis, Marcel Desailly; bekas pengurus kelab AS Roma, Zdenek Zeman; bekas jurulatih India, Bobby Houghton; bekas penasihat pasukan Fiorentina, Fabio Lopez dari Itali dan bekas jurulatih Thailand, Peter Reid disenarai pendek untuk jawatan itu.

Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, berkata David O’ Leary yang juga bekas pengurus Aston Villa dan Leeds United menunjukkan minat membimbing skuad negara menggantikan Datuk K Rajagobal yang tidak dilanjutkan kontraknya 31 Disember lalu.

Permohonan e-mel

“Secara jujur, kami belum menemui O’Leary tetapi beliau menunjukkan minat. Jadi kami akan berjumpa dengan beliau dan juga lima calon yang disenarai pendek itu dalam masa terdekat ini untuk mengadakan rundingan.

“Pada masa sama kami akan terus menilai jurulatih asing lain yang menghantar permohonan menerusi e-mel kepada FAM,” katanya di Wisma FAM, semalam.

Subahan yang juga pengurus skuad kebangsaan juga tidak menolak kemungkinan FAM akan menilai calon jurulatih daripada pasukan yang beraksi di Piala Dunia Brazil nanti- BH