BPL: Liverpool malukan United di Old Trafford

MANCHESTER United sudah tidak layak digelar kelab gergasi Liga Perdana England. Reputasi hebat mereka di Old Trafford sudah semakin tercalar sejak dikendalikan pengurus baharu, David Moyes.

Semalam, kelab yang mendapat jolokan The Red Devils itu malu besar apabila tewas 0-3 kepada Liverpool.

Ini merupakan kekalahan kelima United di gelanggang sendiri dalam saingan liga musim ini selepas tewas 0-1 kepada Everton, Newcastle United (0-1), Tottenham Hostpur (1-2) dan West Brom Albion 1-2.

Gerrard menyumbang dua gol Liverpool menerusi sepakan penalti pada minit ke-34 dan 46 sementara Suarez menyempurnakan lorongan Daniel Sturridge pada minit ke-84.

Derita terus melanda United apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten, Nemanja Vidic dilayangkan kad merah ekoran mengasari Sturridge pada minit ke-78 dalam kotak penalti, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti ketiga buat The Reds.

Begitupun, Gerrard gagal menyempurnakannya apabila sepakannya terkena tiang gol.

Kekalahan memalukan itu turut menamatkan perjuangan United untuk merebut slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. – Agensi

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini