BPL: Benam Chelsea lebih penting – Wenger

LONDON – Walaupun dihambur dengan pelbagai pujian kerana bakal membimbing Arsenal untuk perlawanan ke-1,000 dalam kariernya, namun Arsene Wenger menegaskan, beliau mahu mengetepikan penca­paian peribadi dan memberi sepenuh tumpuan kepada pertembungan menentang Chelsea yang dianggap pertarungan terbesar musim ini.

Wenger bakal membimbing pasukannya dalam perlawanan ke-1,000 apabila Gunners bertandang ke Stamford Bridge, London hari ini. Misi yang diletakkan oleh pengendali dari Perancis itu adalah pulang bersama tiga mata bagi mencerahkan peluang untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris.

“Ia adalah pertarungan terbesar buat Arsenal musim ini kerana kami akan menentang lawan yang turut berada dalam kedudukan mencabar kejuaraan liga.

“Esok (hari ini) saya akan mewakili kelab saya dan bukan diri sendiri, jadi saya mahu ketepikan semua perasaan tentang pencapaian peribadi saya,” kata Wenger selepas menerima trofi emas daripada kelab sebagai menghargai sumbangannya membimbing pasukan dalam 1,000 perlawanan.

Jurulatih berusia 64 tahun itu mengakui, beliau amat tersentuh dan bangga kerana sudah sekian lama berada di Emirates, malah sudah tiba di stadium keramat Arsenal itu ketika ia belum bertukar nama dan dikenali sebagai Highbury.

“Ini adalah satu penghormatan dan sesuatu yang istimewa dapat terus menguruskan pasukan untuk perlawanan ke-1,000. Kelab ini sentiasa menyokong saya.

“Jadi, perkara paling penting buat saya adalah memastikan kami terus mempamer kualiti yang konsisten,” kata Wenger lagi yang dipetik oleh akhbar Britain, Daily Mail.

Arsenal dijangka membariskan pasukan yang sama ketika menundukkan Tottenham 1-0 di White Hart Lane, minggu lalu.

Biarpun Lukasz Fabianski menun­jukkan prestasi baik, namun Wojciech Szczesny bakal terus menjadi pilihan utama untuk menjaga gawang Gunners.

Di bahagian benteng, Bacary Sag­na, Per Mertesacker, Laurent Koscielny dan Kieran Gibbs bakal mejadi pilihan selepas cemerlang ketika menentang Tottenham.

“Pertemuan dengan Arsenal datang pada masa yang genting, ketika kami baru mengalami kekalahan dalam perlawanan terakhir Liga Perdana.

“Tiada keputusan yang lebih baik selain mencatat kemenangan,” kata pemain tengah Chelsea, Eden Hazard merujuk kepada kekalahan mengejutkan 1-0 kepada Aston Villa. – AGENSI