Bayern Munich juarai Bundesliga

MUNICH – Bayern Munich melakar sejarah tersendiri ketika menjulang trofi Liga Jerman awal pagi semalam.

Kemenangan 3-1 ke atas Hertha Berlin di Stadium Olimpik itu sudah cukup untuk membantu Bayern memenangi gelaran juara ke-24 ketika saingan masih berbaki tujuh perlawanan.

Kejayaan anak-anak buah Pep Guardiola itu merupakan yang terpantas sepanjang 51 tahun dalam kempen Liga Jerman.

Pada aksi tersebut, trio utama Bayern, Toni Kroos, Mario Goetze dan Franck Ribery masing-masing meledakkan satu gol pada minit keenam, ke-14 dan 66.

Juara gelaran treble musim lalu itu merangkul trofi Liga Jerman yang ke-23 tersebut selepas melakar 10 kemenangan berturut-turut di gelanggang lawan, sekali gus melebarkan rekod kemenangan kepada 19 perlawanan berturut-turut.

Selain itu, Bayern turut melebarkan rekod tanpa kalah sebanyak 52 perlawanan berturut-turut dan kesemua kejayaan itu merupakan rekod baharu dalam saingan Liga Jerman.

“Saya sangat berpuas hati kerana kami mampu melakukannya. Perlawanan selepas ini tidak penting lagi. Tahniah kepada semua yang terbabit dalam pasukan ini,” kata Guardiola.

Bayern turut meninggalkan pasukan di tangga kedua, Borussia Dortmund dengan kelebihan 21 mata.

“Pertama sekali, pujian harus diberikan kepada semua jurulatih dan ahli pasukan.

“Selepas kejayaan musim lalu, kami mampu meneruskan tumpuan dan berjaya memenangi liga ini lebih awal berbanding tahun lalu.

“Tumpuan dan momentum kami ketika ini sangat luar biasa,” kata Pengarah Sukan Bayern, Matthias Sammer.

Sementara itu, jurulatih skuad antarabangsa Jerman, Joachim Loew turut memberikan pujian kepada Bayern yang merupakan ‘tulang belakang’ kepada skuad bimbingannya itu.

“Memenangi kejuaraan secepat ini adalan satu persembahan yang mengagumkan. Guardiola mengembangkan pasukan ini dengan lebih jauh lagi. Ia terbukti melalui cara mereka mendominasi perlawanan,” jelasnya. – Reuters

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini