Ancelotti belum fikir soal trebel

MADRID – Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti enggan mencongak peluang mereka untuk melakar kejuaraan trebel musim ini.

Selain menerajui Liga Sepanyol, The Galacticos juga mara ke final Piala Raja Sepanyol dan sebelah kaki ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas membelasah Schalke 04 dengan kemenangan besar 6-1 dalam aksi pertama pusingan kalah mati minggu lalu.

Namun, Ancelotti percaya perkara itu tidak menjejaskan fokus anak-anak buah beliau.

“Kami tidak memikirkan peluang melakar kejuaraan trebel musim ini. Apa yang pasti, kami perlu kekal fokus menghadapi perlawanan demi perlawanan selepas ini.

“Bagi saya, lebih baik kami memikirkan kemenangan demi kemenangan dalam satu-satu perlawanan terlebih dahulu sebelum memikirkan berapa banyak trofi yang bakal dimenangi kami musim ini,” kata Ancelotti.

Ancelotti juga memuji kecemerlangan Gareth Bale yang kembali menemui sentuhan penyudah dalam dua perlawanan terbaru termasuk mencetak dua gol ketika membenam Schalke.

“Bale kini sudah kembali membuktikan kemampuannya. Tahap keyakinannya juga semakin tinggi dan semakin menyesuaikan diri dengan corak permainan Real,” kata Ancelotti. – Agensi