AFC Cup: Shakir Ali mohon maaf

PENYERANG Kelantan, Ahmad Shakir Ali memohon maaf kepada penyokong setia The Red Warriors selepas menerima kad merah ketika menentang kelab Vietnam, Vissai Ninh Binh pada aksi Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Secara terbuka, Shakir mengakui betapa dia berasa cukup kesal dengan tindakan yang dilakukannya sehingga mengundang padah buat Kelantan.

“Perkara tersebut berlaku secara pantas dan tidak sengaja serta ia di luar kawalan diri saya.

“Saya telah memohon maaf kepada pihak pengurusan pasukan termasuklah rakan-rakan sepasukan atas apa yang berlaku,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Peledak berusia 25 tahun itu dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Bangladesh, Tayeb Hasan selepas mengasari kapten pelawat, Le Van Duyet pada minit ke-34.

Sebelum ini, pada aksi pembukaan Piala AFC menentang wakil Myanmar, Yangoon United anak kelahiran Kedah itu turut dilayangkan kad merah.

Shakir juga pernah menerima kad merah ketika Kelantan menentang juara Liga Super, Lions XII.

Shakir memberitahu, dia menganggap insiden tersebut sebagai pengajaran berguna buat dirinya.

Menurut Shakir, dia bertekad untuk bersikap lebih profesional dalam setiap perlawanan yang diharungi selepas ini.

“Saya akui penyokong kurang senang dengan tindakan tersebut dan saya mohon maaf atas kesilapan itu.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan tersebut pada perlawanan akan datang,” ujarnya.

Pada perlawanan tersebut, hasrat Kelantan untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri tidak kesampaian selepas tumpas 2-3.- Kosmo