AFC Cup: Kelantan menang bergaya

Kelantan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas South China FC pada aksi Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Persembahan hambar dipamerkan kedua-dua pasukan sebaik sepak mula terutama Kelantan yang dilihat serba tidak menjadi apabila perancang utama mereka, Mohd Badhri Radzi diletakkan dalam senarai pemain simpanan.

Apa pun, South China FC terlebih dulu menguji kubu Kelantan menerusi Andrew Barisic minit ke-23 selepas menerima hantaran lintang Lee Hong Lim, namun percubaannya dalam kota penalti sedikit tersasar di penjuru kiri pintu gol The Red Warriors (TRW).

Pada babak kedua, pasukan pelawat tiba-tiba tampil dengan aksi lebih garang apabila hampir memperolehi gol pertama pada minit ke-49 namun sepakan Lee Chi Ho dalam keadaan kelam kabut di kawasan kotak penalti Kelantan bagaimanapun terkena palang.

Kelantan mula memperkemas rentak permainan dan kembali mengatur gerakan sehingga hampir memperoleh gol pendahuluan namun rembatan kencang Wan Zaharul Nizam dari dalam kotak penalti pada minit ke-53 sedikit tersasar di sebelah kanan gawang South China.

Kelantan akhirnya memasukkan Mohd. Badhri, Mohammad Shawky dan Mohamad Ghadar masing-masing mengantikan Muhammad Nazri Ahmad, Khairul Izwan Rosli serta Tengku Hasbullah Raja Hassan.

Kemasukkan tiga tonggak itu jelas memberi kesan apabila tuan rumah berjaya memecah kebuntuan, setelah pemain sayap mereka, Wan Zaharul meledakkan gol pembukaan pada minit ke-71.

Kelantan terus garang dan berjaya meledak gol kedua menerusi penyerang sensasi mereka, Mohamad Ghadar memperdayakan penjaga gol pelawat, Yapp Hung Fai selepas mendapat hantaran cantik Mohd. Badhri pada minit ke-83.

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini