AFC Cup: Hajat Selangor tak kesampaian

Kuala Lumpur: Selangor terus buntu mencari kemenangan pertama dalam saingan Piala AFC selepas gagal mempertahankan kelebihan jaringan untuk terikat 1-1 menentang kelab Maldives, Maziya Sports & Recreation dalam saingan Kumpulan F, semalam.

Anak buah Mehmet Durakovic mendahului di penghujung babak pertama apabila pertahanan tengah dari Australia, Steve Pantelidis menjaringkan gol pada minit ke-42 perlawanan yang berlangsung di Stadium National Male.

Bagaimanapun kelebihan itu hanya bertahan seketika apabila penjaga gol Selangor, Mohd Hamsani Ahmad menjatuhkan Assadhulla Abdulla dalam kotak penalti menyebabkan dia dilayang kad merah pada minit ke-50 sebelum sepakan penalti Ahmed Mohamed untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Kamsani dilayangkan Kad merah 

Jentera serangan Merah Kuning diterajui Paulo Rangel terus mengasak walaupun beraksi dengan 10 pemain namun gagal menggegar gawang lawan untuk menambah jaringan sekali gus terpaksa menerima hakikat keputusan seri kedua selepas terikat 1-1 menentang Arema Indonesia bulan lalu.

Selangor kini menghuni tangga kedua Kumpulan F dengan dua mata manakala kelab Vietnam, Hanoi T&T unggul meraih enam mata selepas menewaskan Arema Indonesia 3-1 dalam satu lagi perlawanan.

Dua jaringan Gonzalo Marronkle pada babak pertama selain gol Nguyen Van Quyet di penghujung perlawanan memastikan tiga mata penuh dibawa pulang Hanoi T&T menerusi aksi di Malang. – HMetro

Highlights – LIKE Facebook untuk highlights terkini