50 pemilik Volkswagen mengamuk!

50 pemilik kereta Volkswagen berkumpul di ibu pejabat Volkwagen Group Malaysia (VGM) di Bangsar, semalam bagi menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap kenderaan yang dibeli.

Salah seorang daripada mereka yang mengasaskan perkumpulan semalam berkata, mereka mahu meminta VGM menunaikan janji dengan memberikan perkhidmatan selepas jualan yang bagus selain bertanggung jawab terhadap produk yang telah dijual.

“Kami rasa tertipu dengan waranti dan ciri keselamatan yang dijanjikan apabila ada pemilik yang terpaksa menukar enjin dan mengganti pek klac dalam tempoh tak sampai dua tahun menggunakan kereta,” ujar Ben Yeo.

Dakwanya, terdapat juga waranti yang dibatalkan kerana masalah kecil. Sebagai contoh pemilik bernama Leon Loke menyatakan, waranti keretanya terbatal kerana dia menghantar kereta ke pusat servis selepas melebihi jarak 1,000 kilometer.

“Masalahnya ramai pelanggan termasuk saya terpaksa menempah pusat servis sebulan lebih awal kerana tiada kekosongan sebelum itu,” ujarnya.

Seorang pemilik lain yang dikenali sebagai Low pula memberitahu, kereta Volkwagen Polo 1.2 TSI tahun 2012 miliknya semakin bermasalah selepas dihantar ke pusat servis.

Justeru dalam pertemuan semalam, para pemilik meminta beberapa perkara daripada pihak VGM termasuk memanjangkan tempoh waranti untuk enjin dan kotak gear kepada 10 tahun dan tidak membatalkan waranti untuk servis kenderaan yang mencecah jarak tidak melebihi 3,000 kilometer.

Menurut Yeo, masalah kotak gear sememangnya sudah diketahui oleh Volkswagen China yang memanjangkan tempoh waranti kenderaan kepada 10 tahun namun di Malaysia, tempoh waranti dikatakan masih lagi terhad kepada lima tahun. – Myneswhub