Video – Pemain T-Team mengaku tiada insiden, Azlan Johar suruh pulang

JOHOR BAHRU: Perlawanan pusingan kedua Piala FA 2014 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu tidak sepatutnya dihentikan.

Ini kerana tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini, kata pemain T-Team, Irfan Abd Ghani, 25.

Irfan berkata, sewaktu di bilik persalinan beliau tidak melihat sebarang kecederaan dialami pemain import, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo yang kononnya dikasari pegawai pengurusan tertinggi JDT.

“Hampir semua pemain mahu meneruskan permainan tetapi pembantu jurulatih pasukan (T-Team), Azlan Johar membuat keputusan supaya kami menghentikan permainan dan balik,” katanya kepada pemberita selepas memberi kenyataan bagi membantu siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, Azlan berkata, jika mereka meneruskan permainan dan menang sekalipun, mereka takkan dapat balik ke Terengganu.

Keselamatan pasukan itu tidak terjejas sedikit pun ketika itu, kata Irfan yang masih mempunyai kontrak bermain setahun bersama T-Team dan tidak diturunkan pada perlawanan itu.

Katanya, keputusan untuk tidak meneruskan permainan bukan dibuat ketua jurulatih, Azraai Khor.
Pemain pertahanan yang berasal dari Johor itu menafikan beliau membuat kenyataan itu kerana membuat perjanjian dengan JDT.

“Tidak, saya tidak berjumpa dengan mana-mana pihak JDT. Saya lakukan ini kerana tidak mahu terbabit dalam pembohongan,” katanya yang sanggup menerima apa jua tindakan termasuk dibuang daripada pasukan kerana menegakkan kebenaran.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Kelmarin, pemain T-Team, pihak pengurusaan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Ketua jurulatih JDT, César Ferrando Jiménez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Bahru Selatan di sini semalam berhubung kejadian itu. – BERNAMA