Video CCTV – Tiga orang disyaki bakar patung lilin di i-City

Beberapa patung lilin di muzium lilin pertama negara, Red Carpet @ i-City dibakar.

Kejadian yang berlaku Rabu lalu dipercayai tindakan sabotaj oleh pihak tertentu terhadap usaha menjadikan muzium berkenaan sebagai lokasi tarikan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup CCTV, perbuatan khianat itu didalangi tiga individu yang menceroboh muzium berkenaan.

Kebakaran bagaimanapun berjaya dikawal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut Pengurus Informasi I Berhad, Tang Soke Cheng, pameran utama di Red Carpet @ i-City akan ditutup kepada umum.

Ia bagi membolehkan proses penyelenggaran dan pembentukan patung lilin yang rosak dijalankan.

Proses itu dijangka mengambil masa selama dua bulan.

Patung yang tidak terjejas akan dipamerkan kepada umum di lokasi lain pada kadar bayaran masuk serendah RM 5.

Sejumlah 10,000 tiket telah dijual sebelum ini bagi pameran patung lilin Red Carpet @ i-City.

Orang ramai yang telah membeli tiket boleh menunda tarikh kunjungan atau menuntut pulangan wang di kaunter Red Carpet at I-City.