UCL: Real Madrid belasah Schalke, Chelsea curi satu mata

ISTANBUL 27 Feb. – Fernando Torres menjaringkan gol berharga buat Chelsea untuk membantu gergasi Liga Perdana Inggeris itu seri 1-1 dengan Galatasaray dalam perlawanan Liga Juara-Juara di tempat lawan, awal pagi tadi.

Torres meledak gol pertamanya buat kelab London itu dalam peringkat kalah mati pada kejohanan elit Eropah hanya sembilan minit selepas perlawanan bermula.

Bagaimanapun pertahanan Chelsea gagal memberi tumpuan pada babak kedua hingga membenarkan tuan rumah menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Aurelien Chedjou pada minit ke-64.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada perlawanan kedua, peringkat 16 terbaik di Stamford Bridge, 18 Mac depan.

Sementara itu, Karim Benzema, Gareth Bale dan Cristiano Ronaldo masing-masing menjaringkan dua gol untuk membantu Real Madrid membelasah Schalke 04 6-1 dalam aksi pertama, peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kemenangan besar di tempat lawan itu menyaksikan Real, juara sembilan kali kini hanya selangkah lagi untuk menempah tiket ke suku akhir. Mereka akan turun dalam perlawanan kedua di Santiago Bernabeu pada 18 Mac.

Dalam perlawanan di Schalke, Benzema membuka jaringan pasukan pelawat pada minit ke-13, sebelum Bale menggandakan kedudukan 2-0 di minit ke-21.

Real terus bertindak garang dengan meledak gol ketiga menerusi Ronaldo, tujuh minit selepas babak kedua bersambung dan Benzema melebarkan jurang kepada 4-0 pada minit ke-57, sebelum Bale menambah gol kelima di minit ke-57.

Ronaldo memastikan bekalan besar dibawa pulang oleh Real dengan melengkapkan gol keenam, seminit sebelum tamat permainan.

Voli Klaas-Jan Huntelaar menyelamatkan sedikit maruah tuan rumah ketika perlawanan memasuki masa kecederaan. – AP