Tonton dulu baru komen – Kim Swee

Kuala Lumpur: “Pemain lama tak semestinya permainan pun sama, setiap jurulatih ada strategi dan latihan berbeza,” kata jurulatih sementara Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee yang mempertahankan pemilihan pemainnya.

Bagi pengendali berusia 43 tahun itu, beliau tidak kisah jika ada pihak yang kurang senang dengan barisan 25 pemain dipanggil bagi sesi latihan pusat 19 Februari ini kerana dua perlawanan dengan Filipina dan Yaman bakal menentukan sama ada percaturannya itu tepat atau sebaliknya.

“Tunggu perlawanan pertama dengan Filipina dan Yaman nanti, selepas itu baru beri pendapat. Terpulang kepada mana-mana pihak untuk memberikan pendapat tapi saya mengharapkan dengan pemain yang ada, corak permainan kita bertambah baik,” katanya.

Kim Swee yang juga jurulatih Harimau Muda A berkata demikian selepas menyaksikan skuad muda itu menewaskan pasukan Liga FAM, Kuala Lumpur 2-0 pada aksi persahabatan semalam.

Keputusan Kim Swee yang hanya menyenaraikan dua muka baru iaitu penjaga gol Khairul Azhan Khalid dan Mohd Hafiz Kamal dalam skuad Harimau Malaya mendapat kritikan pemerhati dan peminat bola sepak tempatan apabila pasukan itu dikatakan sama seperti skuad jurulatih terdahulu Datuk K Rajagobal. – HMetro