Tiga penoreh getah diamuk gajah sesat

JELI – Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut manakala ibunya patah kaki kanan dan rusuk kiri akibat diserang seekor gajah yang mengamuk dalam satu kejadian di Bukit Wakaf Zink di sini pada pukul 10 pagi semalam.

Mamalia tersebut bertindak agresif setelah dibaling mercun bola oleh sekumpulan penduduk yang mahu menghalaunya.

Gajah liar seberat dua tan yang kelaparan itu dipercayai tersesat dari hutan Thailand dan berkeliaran di kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Wan Aidit Nasrullah Wan Mahmud, disahkan meninggal dunia di Klinik Ayer Lanas akibat kecederaan dalaman, manakala ibunya, Rezamawati Che Mat Bidin,37, dirawat di Hospital Jeli.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohammad Khairi Ahmad.

Sebelum kejadian, Rezamawati bersama anaknya itu dan suaminya, Wan Mahmud Wan Noh, 33, ke kebun getah berhampiran rumah untuk menoreh kira-kira jam 8 pagi sebelum pisau menoreh patah dan mereka kembali ke rumah untuk menukar pisau lain.

Ketika keluar rumah dalam jarak 10 meter, muncul seekor gajah dari arah anak sungai menyerang dengan menendang motosikal ditunggang tiga beranak itu menyebabkan mereka terjatuh dari motosikal.

Menurut Rezamawati, suaminya yang tidak cedera dan jirannya membawanya dan anaknya ke Klinik Ayer Lanas sebelum dirujuk ke Hospital Jeli.

Katanya, ketika di klinik anaknya tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Wan Mahmud pula berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas.