Tengku Abdullah tawar diri jadi Presiden FAM

KUALA LUMPUR – Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersedia menjadi presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekiranya beliau dianggap layak dan mendapat sokongan dalam kongres pemilihan pucuk pimpinan badan induk itu pada 25 Mei ini.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini pendiriannya hanyalah untuk mempertahankan kerusi timbalan presiden yang disandangnya semula sejak 2010 dan belum memutuskan sama ada untuk cuba mengambil alih kerusi No. 1 miik ayahandanya, Sultan Ahmad Shah.

“Saya sebagai penyandang (timbalan presiden FAM) sahajalah dulu. Kalau ada yang menyatakan saya layak jadi presiden, saya akan pertimbangkan. Buat masa ini saya pertahankan jawatan timbalan presiden sahaja,” katanya semalam.

Tengku Abdullah mengulas mengenai kongres pemilihan FAM bagi penggal 2014-2018 yang mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden di samping empat naib presiden dan sepuluh ahli jawatankuasa eksekutif (exco).

Terdahulu beliau melancarkan buku Beyond Dreams karya bekas Setiausaha Agung Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Dr. Peter Velappan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini.

Mengenai hasrat bekas ketua pasukan Perancis, Marcel Desailly kelmarin yang menyatakan kesediaan untuk menyahut cabaran sebagai jurulatih Harimau Malaya, Tengku Abdullah berkata, bekas pemain tengah dan pertahanan itu adalah salah seorang dalam senarai panjang jurulatih asing yang berminat.

“Kalau betullah dia berminat, kami akan pertimbangkan dulu. Kami juga bandingkan dengan nama lain. (Tiada pengalaman) akan saya ambil kira kerana sememangnya dia seorang pemain yang baik, tetapi pengalamannya dalam kejurulatihan masih menjadi persoalan.

“Saya tidak kata dia tidak mampu tetapi kita tidak tahu kemampuan daripada segi kejurulatihan bola sepaknya,” katanya.

Desailly, yang lahir di Accra, Ghana memenangi Piala Dunia 1998 bersama Perancis. Dia pernah menyarung jersi Chelsea dan AC Milan serta dua kelab Qatar, Al Gharafa dan Qatar SC.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (dua dari kanan) bersalam dengan Peter Velappan sambil memegang buku Beyond Dreams pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, semalam.

Kata Tengku Abdullah, FAM mungkin mengutamakan calon tempatan yang berpengalaman dalam kejurulatihan memandangkan dia juga perlu menyandang tugas Pengarah Teknikal seperti mana yang pernah ditawarkan tetapi ditolak oleh rakan senegara Desailly, Philippe Troussier, akhir bulan lalu.

Mengenai sama ada jurulatih dari Jerman turut tersenarai sebagai calon bagi menjamin kesinambungan program pembangunan bola sepak di bawah Lim Teong Kim yang pernah menyertai Bayern Munich, katanya: “Itu pun akan diambil kira. Saya tidak ingat namanya tetapi pastinya dari Eropah.”

Sementara itu, Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan mencadangkan supaya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah diberi peluang bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali gus menerajui badan induk itu pada pemilihan pucuk pimpinan FAM, 25 Mei depan.

Tidak menafikan sumbangan Sultan Ahmad Shah yang memegang jawatan nombor satu itu di FAM ketika ini, sebaliknya Velappan berkata, Tengku Abdullah mungkin mampu memberi dimensi baru dalam arena bola sepak tempatan dengan pengalamannya di peringkat antarabangsa.

“Saya tidak pasti sama ada Sultan Ahmad Shah akan mempertahankan jawatan Presiden tetapi sekiranya baginda mahu berundur, ahli gabungan perlu mencadangkan calon terbaik untuk menggalas tugas ini.

“Mungkin mereka yang baru dilantik itu boleh diberi peluang selama dua penggal untuk menunjukkan tahap kepimpinan mereka.

“Mengenai Tengku Abdullah, beliau memang mempunyai banyak pengalaman, terutama di peringkat FIFA, AFC dan FAM. Jadi, berilah peluang kepadanya.

“Seperti saya katakan tadi, cuba berikan peluang selama dua penggal kepadanya. Sekiranya beliau tidak dapat memikul tugas itu dengan baik, beri peluang kepada orang lain pula,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku bertajuk ‘Beyond Dreams’ hasil tulisannya sendiri.

Beberapa nama menjadi sebutan untuk mencabar jawatan nombor satu dalam FAM itu namun Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sudah menegaskan tidak berminat.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih FAM, Datuk Seri Subahan Kamal mendedahkan, bekas pemain Bayern Munich dan AC Milan, Jean-Pierre Papin juga menjadi salah seorang daripada 42 jurulatih yang memohon jawatan jurulatih Harimau Malaya.