T-Team kesal kenyataan pemain pertahanan, Azraai mahu pemain Titans jujur

PENGURUSAN T-Team kesal dengan kenyataan pemain pertahanannya Ifran Abd Ghani (gambar) yang jelas menyebelahi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Hassan Yunos, Larkin, Johor, Sabtu lepas.
 
Video pengakuan di sini.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain berkata, tindakan pemain yang berasal dari Johor itu hanya memburukkan keadaan apatah lagi ia dibuat sebagai memihak pasukan lawan.
 
Katanya kenyataan Ifran itu menimbulkan tanda tanya kerana pemain itu tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan itu.
 
Irfan mendakwa tidak melihat sebarang kecederaan dialami oleh pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasaan Stefano Impagliazzo yang kononnya dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT.

“Sebagai pemain simpanan, mereka kebiasaannya memanaskan badan di padang ketika kesebelasan utama menuju ke bilik persalinan pada waktu rehat separuh masa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Syahrizan pemain yang berusia 25 tahun itu juga didapati tidak memaklumkan tindakannya membuat kenyataan itu kepada pengurusan T-Team.
 
Katanya, perkara terbabit akan dibincangkan dengan pengurusan tertinggi T-Team untuk tindakan susulan.
 
Hari ini, Irfan telah membuat satu kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berhubung kejadian Sabtu lalu tanpa pengetahuan pihak pengurusan T-Team.
 
Pada perlawanan tersebut, T-Team enggan meneruskan saingan babak kedua atas faktor keselamatan selepas mendakwa Rodrigues dan Impagliazzo dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan.
 
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan mesyuarakat khas berhubung insiden tersebut.

JURULATIH T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah meminta agar skuad bimbingannya itu bersikap jujur dan berakhlak mulia dalam sesuatu hal bagi membolehkan kehidupan selamat di dunia dan akhirat.

“Wahai anak-anak Titans, hidup perlu jujur dan berakhlak mulia. Supaya selamat di dunia dan akhirat,” katanya di laman Facebook.

Azraai Khor

Difahamkan, beliau berkata demikian susulan kenyataan terbuka pemain T-Team, Irfan Abd Ghani kepada pemberita selepas membantu siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Irfan memberitahu bahawa tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku ketika pertembungan Johor Darul Takzim (JDT) dengan T-Team sewaktu di bilik persalinan.

Malah Irfan juga menafikan terdapat kecederaan yang dialami pemain import
Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo yang kononnya dikasari pegawai pengurusan tertinggi JDT.

“Hampir semua pemain mahu meneruskan permainan tetapi pembantu jurulatih
pasukan (T-Team) Azlan Johar membuat keputusan agar kami menghentikan permainan dan balik,” katanya.

Menurutnya, Azlan berkata jika mereka meneruskan permainan dan menang sekalipun, mereka takkan dapat balik ke Terengganu.
   
Keselamatan pasukan itu tidak terjejas sedikit pun ketika itu, kata Irfan yang masih mempunyai kontrak bermain setahun bersama T Team dan tidak diturunkan pada perlawanan itu.

Perlawanan antara JDT dan T-Team di Stadium Larkin itu ditangguhkan selepas separuh masa pertama apabila T-Team yang ketinggalan 1-2 tidak mahu meneruskan permainan atas alasan keselamatan.

Kelmarin pemain T-Team, pihak pengurusan dan jurulatih kecergasannya membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden itu.

Ketua jurulatih JDT César Ferrando Jiménez turut membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Johor Baharu Selatan di sini semalam berhubung kejadian itu.

Video pengakuan di bawah