Seorang pelanggan membuat bising ditikam lelaki

Kuala Lumpur: Seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) cedera ditikam dengan pisau oleh lelaki tidak dikenali yang dipercayai tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa bercakap dan bergurau dalam nada kuat di sebuah restoran makanan segera di Jalan Genting Klang di sini, kelmarin.

Gambar sekadar hiasan.

Difahamkan, dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 21 tahun datang ke premis berkenaan bersama beberapa rakannya sebelum ditegur lelaki terbabit di kaunter tempahan makanan hingga menyebabkan berlaku pertikaman lidah.

Sumber berkata, lelaki itu kemudian bertindak mengejar dan menikam belakang mangsa menggunakan sebilah pisau sebaik kedua-dua mereka keluar dari restoran itu bagi menyelesaikan perbalahan mereka.

“Melihat keadaan mangsa cedera, lelaki terbabit melarikan diri. Mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut.

“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari wad,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca apabila lelaki terbabit berasa rimas dengan suasana bising dicetuskan mangsa hingga menyebabkan kesukaran untuk membuat tempahan makanan di premis itu. – HMetro