Rooney, Van Persie cuma buat 3 hantaran

MANCHESTER – Robin Van Persie hanya melakukan tiga hantaran kepada Wayne Rooney ketika Manchester United kalah 2-1 kepada Stoke City, Sabtu lalu dan kesemuanya adalah menerusi sepak mula.

Menurut majalah FourFourTwo, Van Persie dan Rooney sepatutnya membentuk gandingan serangan yang digeruni dan mengembalikan United ke landasan terbaik, malangnya mereka gagal menunjukkan prestasi seperti yang diharap.

Van Persie, 30, dan Rooney, 28, masih memerlukan masa untuk mengembalikan keserasian serta sentuhan kerana kedua-dua mereka baru kembali daripada kecederaan.

Ini adalah kali pertama Van Persie, Rooney dan bintang baharu United, Juan Mata berganding dalam kesebelasan utama, tetapi kehadiran mereka tidak mampu menghalang skuad bimbingan David Moyes daripada mengalami kekalahan kelapan dalam kempen Liga Perdana Inggeris, musim ini.

Van Persie berjaya mencatat nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu, tetapi jika melihat kepada statistik, gandingannya dan Rooney masih terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

Sementara itu, spekulasi kini bertiup kencang bahawa Van Persie bakal meninggalkan Old Trafford dan kembali ke Arsenal, kelab yang dinaungi selama lapan tahun dari 2004 hingga 2012.

Van Persie mengharungi musim pertama yang cemerlang bersama United apabila membantu kelab itu muncul juara Liga Perdana di bawah bimbingan Alex Ferguson.

Namun, keadaan tidak begitu bagus sejak akhir-akhir ini, terutama dia kerap dibelenggu kecederaan dan United berada di luar kelompok untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan di bawah bimbingan David Moyes.

United menghuni tangga ketujuh liga, tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat, Liverpool, iaitu kedudukan terakhir yang memberikan slot ke Liga Juara-Juara. – AGENSI