Ronald Smith Pilih R. Surendren ‘Man Of The Match’

KUANTAN, 8 Feb (Bernama) — Ketua jurulatih Pahang, Ronald Smith memuji prestasi pemain tengahnya, R. Surendren ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Makmur pada Jumaat malam dan melabelnya sebagai ‘Man of The Match’.

Bagi Smith, kehebatan mereka mendominasi permainan malam tadi banyak dibantu oleh pemain kelahiran Triang, Bera ini.

“Dia berjaya menyuntik tonik terbaik kepada barisan tengah Pahang untuk menghasilkan gerakan yang berbahaya sekali gus memberi kelebihan kepada kami untuk menguasai permainan.

“Kemasukan Suren (Surendran) banyak memberi nafas baharu kepada pergerakan tengah dan berupaya menjana serangan daripada arah kanan dan kiri untuk mengkucar-kacirkan pertahanan pasukan pelawat,” katanya.

Pahang menang tipis 3-2 ke atas JDT.

Smith turut memberi penghargaan kepada pemainnya yang lain yang memberikan persembahan bertenaga.

Menurutnya Pahang berpeluang menghasilkan lebih banyak gol selepas beberapa percubaan menarik namun masalah penyudah menghalang mereka untuk meraih jaringan lebih besar.

“Namun saya akui ada kelemahan lebih-lebih lagi membabitkan barisan pertahanan yang dilihat mudah alpa dengan pergerakan licin pasukan pelawat.

“Memang dua gol yang dihasilkan pelawat atas kealpaan barisan pertahanan kami yang tidak berupaya menghidu pergerakan yang terhasil,” katanya.

Kekecohan yang berlaku semalam selepas perlawanan

Juara Piala Malaysia itu melakar kejutan selepas mengalahkan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kemenangan tipis 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Mohd Hafiz Kamal menjadi wira skuad Tok Gajah selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-92 menerusi tandukan hasil sepakan percuma pemain tengah, Azidan Sarudin.

Kedua-dua pasukan sebelum ini terikat 2-2 dengan gol Pahang dijaringkan Matias Conti pada minit ke-13 dan Fauzi Roslan (47′) manakala gol skuad ‘Harimau Selatan’ dijaringkan Pablo Aimar (45+2′) dan Mohd Safee Sali (72′).

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta FAM mengambil tindakan tegas bagi menangani perkembangan tidak sihat yang sedang berlaku dalam arena bola sepak tempatan termasuk pergaduhan antara penyokong Pahang dan JDT di Kuantan, malam tadi.

Highlights – Like Facebook untuk highlights bolasepak terkini