Quinton Fortune sedia berkhidmat dengan FAM

BEKAS pemain tengah Manchester United, Quinton Fortune melahirkan kesediaannya jika diberi peluang untuk mengendalikan skuad bola sepak kebangsaan pada masa akan datang.

Menurutnya, sekiranya diberi peluang atau mendapat tawaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), beliau akan mempertimbangkan cadangan tersebut kerana ia merupakan satu cabaran besar untuk membawa skuad Harimau Malaya ke satu tahap yang lebih tinggi.

“Saya juga mempunyai perancangan untuk diri saya sendiri iaitu untuk menukar profesion daripada seorang pemain bola kepada seorang jurulatih. Saya berminat melatih pemain-pemain muda yang boleh dididik untuk menjadi pemain yang hebat, sekali gus menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Untuk menjadi jurulatih, saya perlu menghadiri kursus terlebih dahulu dan perlu melakukan banyak kajian untuk mengenal pasti kemampuan pemain-pemain. Seseorang jurulatih itu mesti mempunyai kredibiliti untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Bagaimanapun, sekiranya diberi peluang untuk menjadi jurulatih, saya tidak teragak-agak untuk menolaknya kerana pasukan bola sepak Malaysia mempunyai reputasi yang boleh dibanggakan,” katanya ketika ditemui pada majlis makan malam Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) sempena penganjuran Kejohanan Bola Sepak Piala Mamee 1Malaysia di sebuah hotel terkemuka di ibu negara malam kelmarin.

Menurutnya, tugas sebagai jurulatih memerlukan komitmen yang tinggi dan harus bersedia memberi fokus kepada aspek pembangunan.

“Pemantauan terhadap prestasi setiap pemain juga harus diberi keutamaan supaya dapat mencapai apa yang disasarkan,” katanya.

Fortune berkata, bola sepak Malaysia sudah boleh pergi lebih jauh dan memerlukan usaha yang berterusan supaya dapat menjadi pasukan yang disegani.

FORTUNE (berdiri, kanan) beramah mesra dengan sebahagian tetamu yang hadir pada majlis makan malamYayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) sempena penganjuran Piala Mamee di Damansara malam kelmarin.

“Saya lihat, bakat-bakat muda sudah mula dicari dengan mengadakan pelbagai kejohanan dan ia menjadi pentas terbaik untuk mengembangkan potensi mereka supaya boleh menjadi pemain bertaraf antarabangsa suatu hari nanti.

Katanya, pendedahan awal begitu penting kerana mereka (pemain) perlu didedahkan dengan asas dan kemahiran dalam sukan bola sepak agar mereka tidak kekok dan mampu memberikan aksi terbaik apabila beraksi di atas padang.

Beliau berpendapat, pembangunan bola sepak di Malaysia berada pada kelas tersendiri terutamanya di rantau Asia Tenggara, malah Malaysia pernah menjadi salah satu pasukan digeruni suatu ketika dahulu.

“Saya merasakan, pemain-pemain di sini (Malaysia) memiliki kualiti tersendiri, mereka boleh bermain dengan baik, tetapi perlu lebih banyak didedahkan dengan latihan fizikal serta mental supaya boleh menandingi pemain-pemain antarabangsa lain,” katanya.

Dia juga yakin, bola sepak di Malaysia boleh mencapai tahap cemerlang sekurang-kurangnya lima tahun daripada sekarang sekiranya pendedahan meluas diberikan kepada mereka.

Fortune yang kini berusia 36 tahun, memulakan karier profesionalnya bersama Tottenham Hotspur pada tahun 1994 hingga 1995.

Selepas itu, dia menyertai Atletico Madrid (1995-1996) sebelum menyertai Manchester United pada 1999 hingga 2006.

Kelab terakhir yang diwakilinya ialah Doncaster Rovers pada tahun 2009 hingga 2010.

Dia juga merupakan tonggak dalam skuad kebangsaan Afrika Selatan pada tahun 1996 hingga 2006 sebelum mengumumkan persaraannya pada tahun 2012.- Kosmo