Provokasi penyokong berlarutan di Pekan, Seorang penyokong JDT ditahan

PROVOKASI antara penyokong pasukan Liga Super Johor Darul Takzim (Johor DT) dan Pahang yang pada mulanya tercetus sebaik tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin dilapor berlarutan hingga ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

Video keganasan di Darulmakmur di sini

Provokasi berlaku selepas empat buah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna yang membawa kira-kira 180 penyokong Johor DT memasuki perkarangan IPD Pekan untuk membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Pekan, Supt. Yahaya Othman berkata kumpulan itu yang dalam perjalanan pulang ke Johor singgah kira-kira pada pukul 11.30 malam kelmarin untuk membuat laporan berhubung dakwaan pergaduhan serta kerosakan pada kenderaan mereka.

“Keadaan ketika rombongan bas penyokong Johor DT tiba pada awalnya adalah terkawal namun selepas itu bilangan penyokong Pahang yang turut menunggu di hadapan IPD Pekan menjadi semakin ramai sehingga pihak berkuasa terpaksa meleraikan keadaan tersebut.

Salah seorang penyokong Johor DT yang cedera dipercayai terkena balingan objek keras di luar stadium selepas pertandingan Liga Super antara Pahang dengan Johor DT di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam kelmarin.

“Ketika laporan dibuat, kira-kira 200 penyokong Tok Gajah menunggu di luar IPD Pekan kerana tidak berpuas hati kononnya bas yang membawa penyokong JDT menghimpit motosikal yang dinaiki hingga ada di antara mereka mengalami kecederaan.

“Ia menjadi semakin tegang apabila penyokong Johor DT dan Pahang kembali memulakan provokasi dan sekumpulan penyokong Johor DT telah bertindak keluar daripada kawasan IPD.

“Tindakan provokasi itu telah mencetuskan pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan menyebabkan beberapa penyokong dan orang awam tercedera,” katanya kepada pemberita di Pekan semalam.

Yahaya berkata bagaimanapun pihak polis berjaya mengawal pergaduhan dan mengawal situasi sebelum semua penyokong Johor DT berkenaan kembali menaiki bas mereka dan bergerak pulang ke Johor dengan diiringi kawalan pihak berkuasa.

Polis menahan seorang penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) di perkarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Pekan, kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, kerana melakukan provokasi dan tidak mengendahkan arahan pihak berkuasa. Dia kemudian dibebaskan awal pagi semalam

“Setakat ini, polis menerima empat laporan berkaitan kejadian yang berlaku di Kuantan dan Pekan dan masih menjalankan siasatan terperinci bagi mencari punca serta melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut,” katanya.