Piya bersedia beraksi untuk Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Selepas dihimpit kontroversi bersama skuad kebangsaan tahun lalu kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi (gambar) masih mendapat kepercayaan jurulatih sementara Datuk Ong Kim Swee untuk berada dalam senarai 25 pemain bagi persiapan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 awal bulan depan.

Badhri atau turut dikenali sebagai Piya sebelum ini didakwa tidak berminat menyertai Harimau Malaya ketika di bawah kendalian Datuk K Rajagobal apabila gagal menghadirkan diri bagi latihan pusat Julai lalu dan hampir dikenakan tindakan sebelum pemain perancang tengah itu memberikan alasan mengalami kecederaan.

Namun bagi pemain berusia 31 tahun itu, dia bersedia untuk membalas kepercayaan yang diberikan Kim Swee walaupun ada pihak melihat prestasinya bersama skuad kebangsaan kurang menyengat berbanding ketika mewakili Kelantan.

“Saya tahu ramai mempersoalkan kemampuan saya kenapa saya tidak menyerlah dengan skuad kebangsaan berbanding ketika bersama Kelantan. Saya masih mahu belajar dan saya yakin dengan kehadiran ramai pemain hebat Liga Malaysia, saya akan mendapat ilmu dan pengalaman yang cukup berguna.

“Apa yang pasti, saya akan memberikan komitmen dan khidmat paling terbaik buat Kim Swee jika saya mendapat peluang untuk beraksi bersama skuad kebangsaan nanti,” katanya. – HMetro