Piala FA: Mukhriz yakin Kedah mampu kecewakan JDT malam ini

KEDAH mampu mengecewakan Johor Darul Takzim (Johor DT) jika pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama beraksi mengikuti perancangan yang telah ditetapkan.

Kedah akan melayan kunjungan Johor DT pada aksi suku akhir kedua kempen Piala FA 2014 di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mukhriz Mahathir memberitahu, jika kemenangan menyebelahi Helang Merah, ia tentu dianggap hebat dan para pemain perlu memikirkan corak yang lebih sesuai jika terus berhasrat untuk meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Helang Merah perlu membuat kejutan pada perlawanan kali ini dan kita memberi peluang kepada semua pemain untuk menunjukkan kehebatan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesra Rakyat 2014 di Dataran Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda dekat Alor Setar semalam.

Menurutnya, pasukan lain tidak sehebat mana pun, dan sebab itu pasukan Kedah perlu sentiasa memikirkan corak permainan yang lebih sesuai untuk meraih kemenangan.

“Penonton yang datang menyaksikan perlawanan itu perlu memberi semangat kepada setiap pemain negeri Kedah,” katanya.

Bagaimanapun, jika para pemain beraksi sambil lewa, ia pasti mengundang padah.

Pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru baru-baru, ini Johor DT yang dibimbing Cesar Ferrando Jiminer menang 3-1.

“Pemain Kedah kini bermain di gelanggang sendiri, tentu mereka lebih bersemangat untuk menampilkan aksi luar biasa berbanding ketika bermain di tempat lain.” katanya.

Menurutnya, semasa berlawanan menentang Perlis, jumlah penonton yang datang memberi sokongan melibihi 14,000 orang dan berharap jumlah tersebut bertambah pada aksi menentang Johor DT nanti.

“Saya berharap penonton tidak membuat pelbagai kerenah yang boleh merugikan diri sendiri, elak insiden tidak diingini dan tunjukkan semangat untuk memastikan Helang Merah antara pasukan yang dihormati,” tambah Mukhriz.- Kosmo