Piala FA: Kedah tidak gentar temu Johor DT

KEDAH tidak akan memberi laluan mudah kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) pada perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini, lapor AMMAR JAZLAN MAD LELA.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Aminuddin Osman berkata, skuad Helang Merah tetap bersemangat bertandang ke gelanggang lawan walaupun sedar tugas berat menanti mereka.

“Saya akui mereka (Johor DT) merupakan pasukan yang hebat dan digeruni musim ini, namun anak-anak buah saya tidak akan mudah menyerah kalah dan akan berjuang habis-habisan sehingga 90 minit permainan.

“Kemenangan pada perlawanan itu amat penting bagi memastikan Kedah selesa apabila menerima kunjungan lawan pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman nanti, sekali gus memastikan kami layak ke pusingan seterusnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Alor Setar semalam.

Tambah Aminuddin, berdasarkan prestasi semasa Helang Merah dalam kempen Piala FA dan Liga Premier setakat ini, beliau yakin pasukannya mampu mencipta kejutan.

Ujarnya, selain bebas daripada sebarang kecederaan, persefahaman dalam kalangan para pemain juga semakin mantap.

“Gandingan penyerang, Kyril Muhymeen Zamri dan pemain import dari England, Billy Osman Mehmet dilihat semakin berbisa.

“Pada masa yang sama, jentera tengah dan pertahanan juga semakin ampuh dan menunjukkan keserasian yang tinggi,” ujarnya.

Beliau turut yakin jurulatih Kedah, David Mitchell sudah membuat persiapan rapi termasuk melihat rakaman perlawanan-perlawanan membabitkan Johor DT sebelum ini.

“Sebelum ini, saya akui pasukan kami agak lambat panas, namun selepas beberapa perubahan taktikal yang dilakukan jurulatih, sedikit-sebanyak ia telah berjaya diatasi dan kita harapkan ia dapat diterjemahkan dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Sementara itu, ketua pasukan, Badrol Bakhtiar berkata, rakan-rakannya tidak gentar menentang Johor DT.

“Pasukan lawan pastinya bersemangat kerana mendapat sokongan sokongan padu peminat sendiri, namun kami akan berusaha mengekang asakan mereka,” ujarnya.- Kosmo