Pengendali T-Team Tidak Berminat Bercakap Mengenai Irfan Abd Ghani

KUALA TERENGGANU, 9 Feb  — Pengendali pasukan T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah hanya berminat untuk bercakap mengenai para pemain yang turun menjalani latihan daripada menyentuh pemain kontroversi, Irfan Abd Ghani yang sehingga hari ini ‘masih belum menjelma di bumi Terengganu’.

Mohd Azraai berkata beliau lebih berminat kepada pemain-pemain yang turun menjalani latihan daripada berbicara mengenai Irfan, pemain yang menimbulkan kontroversi dalam insiden pahit di Larkin, Johor Bahru.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Irfan, pemain pertahanan T-Team itu yang dikatakan individu yang tahu mengenai kejadian di sebalik insiden semasa perlawanan Piala FA antara T-Team dengan Johor Darul Takzim (JDT) minggu lepas.

Katanya pemain berkenaan sehingga kini masih belum turun untuk mengikuti latihan dan panggilan yang dibuat kepadanya tidak dijawab.

“Saya rasa tidak payah panggil, saya rasa sebagai pemain profesional dia tahu apa tanggungjawab dia dan apa dia perlu buat.

“Jadi, kita tunggu dan lihat, selebihnya saya tidak mahu komen, terserah kepada pihak pengurusan,” katanya kepada pemberita.

Tanpa memberikan butiran, Mohd Azraai berkata beliau percaya pihak pengurusan sudah mempunyai sesuatu tindakan untuk pemain terbabit.

Kekecohan berlaku pada saingan Piala FA pusingan kedua dalam terowong menuju bilik persalinan pemain pada waktu rehat di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru, Sabtu lepas apabila pemain T-Team dikatakan dikasari.

Ekoran kejadian itu, T-Team membuat keputusan menarik diri daripada aksi separuh masa kedua atas faktor keselamatan. — BERNAMA