PBNJ dakwa Pemain T-Team cetus provokasi, Azraai anggap kes serius

JOHOR BAHRU – Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mendakwa pemain T-Team melakukan provokasi sehingga membawa pergaduhan sewaktu perlawanan Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos malam semalam.

Selain itu mereka tidak berpuas hati apabila perlawanan itu ditangguhkan separuh jalan akibat pergaduhan yang berlaku di dalam terowong sewaktu perlawanan berehat.

PBNJ dalam laman Facebook rasminya mendakwa, sebaik wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan, jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impaguazzo telah membuat provokasi ke atas ketua jurulatih JDT, Cesar Ferrando Jiminez.

“Tiba-tiba pemain import T-Team memakai jersi nombor 16, Evaldo Rodrigues meluru masuk menuju terus ke hadapan muka Jiminez lalu memarahinya dan berlarutan hingga ke terowong menuju ke bilik persalinan.

“Pihak keselamatan stadium diketuai PDRM Johor berjaya meleraikan masalah,” menurut PBNJ di dalam laman sosial itu.

PBNJ mendakwa perlawanan terpaksa ditangguhkan setelah keseluruhan pasukan T-Team membuat keputusan tidak mahu memulakan separuh masa kedua perlawanan.

PBNJ turut mendakwa tiada apa-apa insiden buruk berlaku kepada pasukan lawan dan penyokong mereka, malah segala perjalanan dalam perlawanan di tengah padang juga amat cemerlang.

Menurut PBNJ, perlawanan terpaksa ditangguhkan kerana pasukan T-Team membuat keputusan mengejut dengan menarik diri serta pulang awal sebelum perlawanan separuh masa kedua dimulakan.

Menurut PBNJ lagi, mereka juga tidak bersetuju dengan keputusan perlawanan ditangguhkan kerana apa yang berlaku tidak melibatkan pemain-pemain di tengah padang mahu pun penyokong ketika perlawanan sedang berlangsung.

Sementara itu, Jurulatih T-Team, Azraai Khor Abdullah menyifatkan insiden yang menimpa pemainnya, Evaldo Rodrigues yang dikasari pihak pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT) semasa perlawanan Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Johor Bahru malam semalam sebagai sangat serius.

Dalam insiden yang berlaku di bilik persalinan sejurus tamat babak pertama perlawanan kedua-dua pasukan itu, jurulatih kecergasan skuad The Titans, Stefano Impagiazzo turut dikasari pegawai keselamatan yang berada di tempat kejadian.

Beberapa saksi mendakwa Impagiazzo ditendang di bahagian kemaluan manakala Evaldo Rodrigues ditumbuk pihak pengurusan JDT sewaktu pemain T-Team menuju bilik persalinan sebaik sahaja tamat separuh masa pertama.

Difahamkan, pemain kelahiran Brazil, Evaldo dan Stefano hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu semalam untuk membuat laporan polis tetapi menangguhkan hasrat itu untuk sementara.

Turut difahamkan, sebelum itu kedua-dua pemain itu turut dibawa pihak pengurusan T-Team ke sebuah klinik di sini untuk pemeriksaan.

Azraai yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu bagaimanapun berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu maklum balas seterusnya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kami masih tunggu apa tindakan daripada FAM berhubung insiden ini, kami telah hantar laporan mengenai kejadian itu kepada badan induk tersebut semalam (malam semalam),” katanya.