Pahit untuk kami telan – Azlan Johar

KUALA LUMPUR – Terpaksa ditelan walaupun pahit, itulah yang dirasakan oleh penolong jurulatih T-Team, Azlan Johar apabila Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan Johor Darul Ta’zim diberikan kemenangan 3-0 dalam perlawanan Piala FA antara kedua-dua pasukan yang tertunda pada Sabtu lalu.

Katanya, dia bukan mahu mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh JKPT FAM namun berasa terkeliru kerana menurutnya komisioner perlawanan, Zainal Mukri sendiri memberitahunya bahawa tiada jaminan skuad T-Team tidak akan diganggu jika meneruskan perlawanan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen Piala FA Sabtu lalu.

“Saya dan pengurusan T-Team menerima keputusan yang diberikan oleh JKPT FAM walaupun ini satu keputusan yang sedikit mendukacitakan buat pihak kami.

“Pada mulanya saya jangka pasukan saya dapat juga beraksi selama 45 minit serta bermain di tempat berkecuali, kami tidak kisah jika itu terjadi namun FAM mempunyai kuasa pemutus.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, saya ada tanya komisioner perlawanan, selepas Evaldo ditumbuk, adakah dia mampu memberikan perlindungan kepada kami agar tidak diserang lagi tetapi dia kata tidak berani beri jaminan.

“Begitu juga dengan pengawal-pengawal keselamatan lain, mereka juga bercakap benda yang sama, jadi atas sebab itu saya dan semua pemain membuat keputusan untuk tidak meneruskan permainan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Walaupun begitu, Azlan berharap perkara yang sama tidak akan berulang kerana boleh menjejaskan kemeriahan bola sepak tempatan.

“Cukuplah sekali, kita mahu perkara-perkara kontroversi seperti ini tidak berulang lagi dan pasukan T-Team akan cuba bangkit daripada insiden ini,” katanya.

JKPT FAM semalam membuat keputusan memberikan kemenangan 3-0 kepada JDT atas alasan T-Team telah melanggar peraturan kerana tidak mahu meneruskan babak kedua perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos itu walaupun keadaan adalah selamat.

T-Team mendakwa mereka enggan meneruskan perlawanan atas alasan keselamatan.