Ong Kim Swee tak cepat melatah

Kuala Lumpur: Tumpuan Datuk Ong Kim Swee untuk memulakan tugas bersama Harimau Malaya tidak terjejas meskipun ada pihak mempersoalkan kemampuannya selepas diberikan kepercayaan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membimbing pemain senior.

Bagi pengendali berusia 43 tahun itu, beliau sedar pelantikannya itu pasti mengundang rasa kurang senang segelintir pihak, namun tiada sebab untuk dirinya cepat melatah.

“Ini perkara biasa. Akan timbul persoalan apabila sesiapa saja dilantik menjadi jurulatih kebangsaan, tapi saya lebih suka menumpukan kepada persiapan skuad negara dan sama ada keputusan itu nanti positif atau sebaliknya, saya perlu terima. Terpulang kepada pemerhati dan peminat bola sepak untuk menilainya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Kim Swee mendapat mandat FAM mengendalikan Harimau Malaya buat sementara waktu selepas badan induk itu gagal mendapatkan khidmat pengendali berpengalaman dari Perancis Philippe Troussier untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk K Rajagobal.

Jurulatih Harimau Muda itu bakal diuji dalam perlawanan persahabatan antarabangsa dengan Filipina pada 1 Mac ini sebelum mengharungi misi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yaman, empat hari kemudian dengan FAM tidak menolak kemungkinan untuk menyerahkan tugas itu secara tetap kepada Kim Swee jika meraih keputusan baik.