Ong Kim Swee puji pemain senior

Kelana Jaya: Selepas seminggu mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee tampil memuji tahap profesionalisme dan kerjasama yang diberikan pemain senior negara terhadapnya.

Kim Swee, 44, yang memikul peranan selaku pemangku jurulatih kebangsaan menggantikan Datuk K Rajagobal yakin komitmen diberikan pemain sepanjang sesi latihan mampu diteruskan pada perlawanan sebenar.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan Filipina untuk aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Selayang, Sabtu ini sebelum berlepas ke Al-Ain, UAE keesokan harinya untuk aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2015 bertemu Yaman, 5 Mac ini.

Keharmonian penting

“Seperti yang saya katakan dari hari pertama kem latihan (19 Februari lalu), mereka ini adalah pemain yang berpengalaman dan cukup profesional.

“Jadi saya dapat lihat semua pemain memberikan kerjasama cukup erat bukan saja terhadap saya, malah seluruh barisan kejurulatihan.

“Selain itu, mereka turut menunjukkan hubungan cukup baik antara satu sama lain dan keharmonian ini sangat penting dalam sesuatu pasukan,” kata Kim Swee ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, petang semalam.

Ditanya adakah pemain dapat mengikuti corak dan sistem latihannya berbanding sistem lama bersama Rajagobal sebelum ini, Kim Swee berkata: “Bagi saya itu amat penting. Biarlah pemain saja menilainya. Tapi apa yang saya nampak, mereka memberikan yang terbaik dalam latihan dan harap ia diteruskan dalam perlawanan sebenar.”

Azammuddin digugur

Sementara itu, Kim Swee turut mengesahkan pengguguran pemain sayap Pahang, Azammuddin Akil daripada skuadnya untuk bertemu Yaman selepas pemain itu gagal pulih daripada kecederaan lama di buku lali.

“Selepas berbincang dengan doktor pasukan, didapati Azammuddin takkan sempat pulih dalam tempoh seminggu ini. Masa suntuk untuk saya panggil pemain lain dan tempatnya di posisi sayap kanan boleh diisi sama ada Ahmad Fakri Saarani, Baddrol Bakhtiar mahu pun Amri Yahyah,” katanya yang turut kehilangan Razman Roslan akibat kecederaan hamstring.

Ketiadaan seketika tiga pemain Kelantan dan tiga pemain Selangor menyaksikan hanya 18 pemain turun menjalani latihan, petang semalam termasuk penjaga gol ‘pinjaman’ dari Harimau Muda A, Farhan Abu Bakar yang dipanggil untuk menemani Khairul Azhan Khalid berikutan ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat dan Farizal Marlias. – BH