Mata yakin United mampu layak ke Champions League musim depan

MANCHESTER – Pemain termahal Manchester United, Juan Mata yakin skuad The Red Devils masih mampu untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat pasukan teratas, sekali gus layak ke aksi Liga Juara-Juara musim depan.

Mata menjejakkan kaki ke Old Trafford daripada Chelsea dengan nilai perpindahan sebanyak £37.1 juta (RM204.35 juta) bulan lalu.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu tidak mengambil masa yang panjang untuk memberikan impak dan menjadi watak utama yang membantu United hadapi aksi Liga Perdana England musim ini.

Mata enggan mengaku kalah dalam perebutan slot ke pertandingan berprestij Eropah itu meskipun menyedari pasukan itu kini ketinggalan 11 mata di belakang pasukan di tangga keempat, Liverpool.

“Objektif utama kami ialah mendapatkan slot ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Ia pastinya sukar kerana Liverpool beraksi lebih baik ketika ini sama seperti Arsenal, Tottenham Hotspur dan Everton tetapi saya fikir, kami mempunyai pasukan yang mampu mencapai objektif itu.

“Ini adalah United. Apabila pasukan ini menang dua, tiga atau empat perlawanan secara berturut-turut, ia membuktikan pasukan ini mempunyai mentaliti sebagai juara.

“Saya yakin kami mampu melakukannya tetapi pada masa ini, kami perlu memenangi sebanyak perlawanan yang boleh,” katanya.

Dalam pada itu, pemain berusia 25 tahun itu mengakui, dia kini berasa dihargai oleh pengurus United, David Moyes setelah gagal memikat hati Jose Mourinho di Chelsea.

“Dia menyebabkan saya berasa sangat penting di sini (Old Trafford) kerana tiba di kelab yang besar dan mereka melabur wang yang banyak untuk mendapatkan kamu.

“Sangat seronok apabila pengurus memberitahu kamu, ‘Juan (Mata), anda pemain penting dalam pasukan ini dan kami memerlukan kamu untuk menggerakkan permainan sebanyak mungkin’ dan itulah apa yang saya cuba lakukan.

“Hubungan saya dengan Moyes sangat baik. Daripada aspek luaran pula, saya merasakan dia seorang yang mempunyai karakter peribadi yang baik,” katanya. – Agensi