Marcel Desailly mahu latih Harimau Malaya

BEKAS tonggak pertahanan Chelsea, Marcel Desailly tanpa berselindung mengakui telah bersedia untuk mencurahkan segala ilmu dan pengalaman kepada skuad Harimau Malaya jika ditawarkan jawatan menjadi jurulatih baharu pasukan kebangsaan pada tahun ini.

Menurutnya, dia bersedia untuk menawarkan khidmatnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha untuk membantu memulihkan reputasi skuad Harimau Malaya yang disifatkannya memiliki potensi untuk melakar kegemilangan di pentas antarabangsa.

Keyakinan Desailly itu hadir selepas menabur bakti selama 20 tahun dalam dunia bola sepak selepas mewakili Nantes, Marseille, AC Milan, Chelsea, Al-Gharafa dan Qatar SC.

Biarpun tidak memiliki pengalaman sebagai jurulatih, bekas pemain Perancis yang menjulang Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 itu tetap percaya bahawa penglibatannya di pentas Eropah, mampu membantu skuad Harimau Malaya membina reputasi cemerlang di peringkat Asia.

“Selepas berkecimpung dalam dunia bola sepak selama 20 tahun sebagai pemain, saya mahu melanjutkan karier saya sebagai jurulatih.

“Saya sudah bersedia. Saya tahu mereka (Harimau Malaya) telah mengecapi kejayaan (Piala AFF Suzuki) 2010 tetapi saya juga tahu mereka (FAM) memerlukan lebih banyak kejayaan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pengumuman pencalonan untuk Anugerah Sukan Dunia Lauraus di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, FAM tetap berusaha untuk mendapatkan sentuhan jurulatih import biarpun sebelum ini badan induk bola sepak negara itu menolak khidmat bekas pengendali Jepun, Phillipe Troussier.

Ketika mewakili Perancis

Troussier sebelum ini disebut-sebut sebagai pengganti bekas jurulatih, Datuk K. Rajagobal tetapi FAM enggan melayan kerenah pengendali Perancis itu yang tidak mahu diletakkan sebarang Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) jika melatih Harimau Malaya.

Dalam perkembangan sama, Desailly mengakui tugasannya bersama FAM tidak semudah yang dijangka jika beliau terpilih sebagai jurulatih baharu Harimau malaya.

“Belum ada rundingan (dengan FAM) tetapi saya gembira kerana dikaitkan dengan jawatan ini. Saya tahu mereka (FAM) sedang menilai calon-calon terbaik untuk mengisi jawatan jurulatih skuad bola sepak kebangssan.

“Saya turut difahamkan, jurulatih ini bukan sahaja terlibat dengan pasukan tetapi beliau juga akan terlibat secara langsung untuk membantu struktur pembangunan di perngkat akar umbi.

“(Jika dilantik sebagai jurulatih Harimau Malaya), saya bukan sahaja mahu jawatan itu tetapi saya juga mahu membawa ilmu pengetahuan saya untuk membawa skuad ini melakarkan kegemilangan,” katanya.- Kosmo