Liga Super: Duta Brazil bimbang keselamatan pemain import negaranya

Kuala Terengganu: Adakah pemain bola sepak Brazil selamat bermain bola sepak di negara ini. Itu yang dipersoalkan Duta Brazil di Malaysia Maria Auxiliadora Figueirado.

Semalam, beliau datang ke negeri ini bagi mengadakan perjumpaan dan meminta penjelasan pihak pengurusan T-Team dengan membincangkan soal keselamatan terutama berhubung pemain bola sepak kelahiran Brazil.

Penyerang T-Team Evaldo Rodrigues didakwa ditumbuk di muka oleh pegawai tertinggi Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) pada 1 Februari lalu.

Dalam insiden pada separuh pertama saingan Piala FA menentang Johor Darul Takzim (DT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin itu turut membabitkan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo yang ditendang di pangkal paha oleh seorang anggota keselamatan.

Maria berkata, tugas kedutaan adalah untuk memastikan keselamatan rakyat Brazil yang tinggal di negara asing dalam kedudukan selamat. – HMetro