Liga Perdana: SPA Putrajaya FC Lonjak Ke Tangga Kedua Liga Perdana

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) — Pasukan kelab, SPA Putrajaya FC berjaya melonjak dua anak tangga ke kedudukan kedua Liga Perdana selepas mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam ini.

Klik sini untuk jadual, keputusan dan kedudukan liga.

Khairul Izwan Khalid muncul wira skuad kendalian Mohd Shah Norbit itu dengan ledakan gol masing-masing pada minit ke-38 dan 61′ untuk membolehkan mereka mengumpul sembilan mata selepas empat perlawanan.

Sekalipun berkongsi mata dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku pendahulu liga, PDRM mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Sementara itu, juara Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim lepas, Pulau Pinang nyaris diaibkan oleh Perlis yang berjaya merapatkan jurang selepas ketinggalan 3-0, sebelum akur dengan keputusan 3-2 dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Andre Titi Buengo menjaringkan gol seawal minit pertama untuk Pulau Pinang sebelum pemain import dari Korea Selatan, Lee Kil-Hoon menambah derita pasukan Singa Utara itu dengan dua gol, masing-masing pada minit ke-22 dan 51′.

Perlis yang tidak berputus asa berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi pemain import dari Ivory Coast, Dao Bakary pada minit ke-76 dan Mohd Haziq Muiz Abdul pada minit ke-90.

Dalam pada itu, Sabah dan DRB-Hicom FC masing-masing berjaya menamatkan kemarau kemenangan di laman sendiri.

Sabah menang tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Mereka bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal pemain pasukan pelawat, Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-11 sebelum bangkit dengan dua jaringan pantas masing-masing menerusi Mohd Ezaidy Khadar pada minit ke-14 dan Mohd Farid Ideris (21′).

DRB-Hicom FC pula menang tipis 3-2 ke atas Johor Darul Ta’zim II dalam aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Khairul Anwar Shahrudin meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-29 sebelum Mohd Yussof Zainal Abidin menyamakan kedudukan untuk skuad Harimau Selatan dalam masa tambahan separuh masa pertama.

Khairul Naim Mahyuddin menjaringkan gol kedua untuk DRB-Hicom FC pada minit ke-55 sebelum pemain mereka, Mohd Razif Abd Rahim menolak masuk bola ke dalam gawang sendiri pada minit ke-63 untuk menjadikan keputusan 2-2.

Penyerang DRB-Hicom FC, Mohamad Fakhrullah Rosli memastikan skuad kendalian G. Torairaju itu mengutip tiga mata pertama menerusi gol kemenangan pada minit ke-80. — BERNAMA

Highlights

DRB HICOM v JDT II