Liga Perdana: PDRM Kekal Rekod Bersih, Rekod Kedah lebur

KUALA LUMPUR, 14 Feb — Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana selepas mencatatkan kemenangan keempat berturut-turut, Jumaat.

Skuad ‘The Cops’ kendalian Dollah Salleh menang bergaya 7-1 ke atas pasukan tercorot, Perlis di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya untuk membolehkan mereka terus menerajui takhta liga dengan pungutan bersih 12 mata.

Penyerang import dari Maldives, Ali Ashfaq nyata menjadi ‘duri dalam daging’ untuk pasukan Perlis selepas meledak jaringan hatrik masing-masing pada minit ke-15, 51′ dan 86′.

Empat lagi gol PDRM disumbangkan oleh Charles Chad Souza pada minit ke-49 (penalti) dan 64′); Bobby Gonzales (60′) dan Khairul Izuan Abdullah (62′) manakala gol saguhati Perlis dijaringkan oleh Dao Bakary pada minit ke-55.

Juara Liga FAM 2013, Pulau Pinang pula melonjak ke tangga kedua liga hasil kemenangan tipis 2-1 ke atas DRB-Hicom FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal pelawat menerusi Khairul Naim Mahyuddin pada minit ke-39, sebelum bangkit pada separuh masa kedua menerusi gol Hilton Mauro Moreira (56′) dan Lee Kil-Hoon (88′).

Felda United FC turut meraih tiga mata selepas menang selesa 4-0 ke atas SPA Putrajaya FC pada aksi di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Empat gol skuad ‘The Settlers’ dijaringkan oleh Zah Rahan Krangar pada minit kelima; Edward Junior Wilson (61′); Mohd Aizulridzwan Razali (73′) dan Abdul Latiff Suhaimi pada masa tambahan separuh masa kedua.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, pasukan Negeri Sembilan meleburkan rekod tanpa kalah Kedah selepas menang tipis 1-0, hasil tandukan Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-57.

Sabah berjaya meraih tiga mata selepas mengalahkan UiTM FC 1-0, hasil jaringan tunggal penyerang import dari Syria, Marwan Mustafa Sayedeh pada minit ke-67 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Turut meraih tiga mata ialah Johor Darul Ta’zim II yang mengalahkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) 1-0, hasil jaringan See Kok Luen pada minit ke-67 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Bahru.

Sementara itu, aksi tunggal Liga Super membabitkan dua kelab Lembah Klang; Selangor PKNS FC dan Sime Darby FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. — BERNAMA

Like Facebook untuk semua highlights terkini