Lelaki bunuh, cederakan anak mengaku sayang anak

KAJANG – Lelaki yang didakwa menyembelih anak bongsunya serta mencederakan dua lagi anak perempuannya memberitahu Mahkamah Majistret di sini semalam bahawa dia menyayangi anak-anaknya itu.

Norazman Mohammad, 43, yang hadir ke mahkamah semalam dengan keadaan kepala masih berbalut membuat pengakuan tersebut dengan tenang di hadapan Majistret A. Jalil Salam Muhammad.

Saya sayang anak saya,” kata seorang bapa yang didakwa membunuh anak bongsunya menggunakan parang dan mencederakan dua lagi anak perempuannya, 30 Januari lalu.

Tertuduh, Norazman Mohammad, 43, berkata demikian dalam nada seakan-akan berbisik ketika jurubahasa mahkamah membacakan semula pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad di sini, semalam.

Tertuduh yang bertubuh kecil dan kepalanya berbalut akibat kecederaan dipercayai dialaminya pada hari kejadian juga hanya menggeleng kepala seterusnya mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap dua pertuduhan cuba membunuh anaknya, Maryam, 10, dan Liyana, 12, sehingga menyebabkan kecederaan.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sebelum itu, pertuduhan terhadap lelaki itu yang didakwa membunuh anak perempuan bongsunya, Zulaikha menggunakan parang dibacakan semula bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membawa hukuman mati mandatori, jika didapati bersalah.

Norazman yang tidak bekerja didakwa melakukan ketiga-tiga perbuatan itu di Jalan 4/9G, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, di sini, jam 4 petang 30 Januari lalu. Tertuduh yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah semalam sudah didakwa atas tiga pertuduhan itu di Wad 2 Lelaki, Hospital Kajang ketika dia mendapatkan rawatan akibat kecederaan di kepala 7 Februari lalu.

Terdahulu, peguam Norah Abu Bakar mewakili Norazman, memohon mahkamah membenarkan anak guamnya itu menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak supaya pihaknya boleh mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan bagi meminda pertuduhan Seksyen 302 Kanun Keseksaan sekiranya tertuduh didapati mengalami masalah mental.

Seorang lagi peguam mewakili tertuduh, Nasar Khan Mirbas Khan pula berkata, penilaian psikiatri sepatutnya dibuat secepat mungkin untuk menggambarkan keadaan mental tertuduh ketika kejadian.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa S Abirami membantah permohonan itu dengan alasan kes itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan hanya Timbalan Pendakwa Raya di sana akan membuat permohonan untuk menghantar tertuduh menjalani pemeriksaan itu.

Abdul Jalil kemudian menegaskan keputusan pemeriksaan psikiatri terhadap tertuduh tidak akan diputuskan semalam sebaliknya menetapkan 26 Mac bagi mendapatkan laporan kimia, forensik dan bedah siasat.