Lebih 20 pelajar histeria

PENDANG: Lebih 20 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendang di sini mengalami histeria dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Difahamkan, kejadian bermula apabila seorang pelajar perempuan tingkatan tiga menjerit ketika perhimpunan pagi yang diadakan di tapak perhimpunan dan dibawa masuk ke kelas untuk ditenangkan.

 Bagaimanapun, beberapa minit kemudian guru dan pelajar dikejutkan dengan jeritan lebih 10 pelajar perempuan di asrama menempatkan pelajar sesi petang.

Menurut kakitangan sekolah yang enggan dikenali, semua pelajar sesi pagi dan petang diarahkan berkumpul di dewan sekolah bagi mengawal keadaan sebelum diarahkan membaca surah Yasin.

Katanya, keadaan menjadi semakin tegang apabila lebih ramai pelajar mula menjerit termasuk beberapa pelajar berbangsa Cina sebaik bacaan Yasin dimulakan.

“Pihak sekolah terpaksa memanggil lebih empat orang ustaz bagi membantu memulihkan semangat pelajar sebelum pelajar diarahkan pulang ke rumah pada jam 12 tengah hari,” katanya.