Lapan mangsa lemas ditemui

Hasrat tujuh sahabat untuk menyelamatkan seorang rakan yang lemas selepas tergelincir ketika menyusuri Sungai Muar di Buloh Kasap di sini berakhir dengan tragedi apabila kesemua mereka turut tenggelam dan hilang di dasar sungai.

Tiga mayat yang baru dijumpai ialah Mohd Zaki Zaidi, 16; Mohd Izuan Hakimi Amin, 13, dan Mohd Hafizuddin Kamal, 16, dan ditemui kira-kira satu meter dari tempat mayat pertama ditemui semalam.

Sebelum itu, mayat Mohd Nazreen Zainal, 14 ditemui sebaik saja azan Zuhur dilaungkan untuk solat berjemaah, manakala mayat Mohd Shafiq Md Shukor, 16 ditemui jam 2.06 petang tadi.

Lokasi mencari dan menyelamat bagi hari ini dipanjangkan sehingga tiga kilometer daripada lokasi semalam.

Operasi hari kedua membabitkan 70 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan.

Seramai 20 anggota Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Melaka dan Negeri Sembilan juga membantu pada operasi hari ini.

Semalam, 12 anggota Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Johor terbabit dalam operasi mencari mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, lapan sekawan terjatuh ke dalam Sungai Muar akibat tergelincir dari tebing yang runtuh.

Difahamkan sekumpulan 12 pelajar berjoging pada cuti hujung minggu. Sebelum tragedi berlaku, kesemua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap begitu gembira keluar berjoging bersama empat lagi sahabat mereka, termasuk seorang perempuan pada pukul 6.30 pagi sebelum berpecah kepada dua kumpulan ketika tiba di tempat kejadian.

Namun, mayat Mohd Hafzul Daniel Norhashim, 16, ditemui pada jam 3.29 petang diikuti Mohd Zikri Zaidi, 14, pada jam 3.41 petang dan Nazrul Aminuddin Zamri, 15, pada 4.22 petang semalam.

Jenazah Mohd Hafizul selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sepinang, dekat sini, kira-kira jam 10 malam tadi.