La Liga: Barcelona cari jurulatih baru

BARCELONA – Tidak cukup dengan isu perpindahan Neymar yang mengganggu Barcelona, kini kredibiliti jurulatih, Gerardo Martino (gambar) pula menjadi pertikaian.

Akhbar harian Catalan, Sport melaporkan, Barcelona sedang mencari pengganti jurulatih warga Argentina itu sebelum musim depan bermula, meskipun juara Sepanyol itu memulakan musim ini dengan persembahan positif dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Real Madrid.

Barcelona gagal mempamer permainan tersusun ketika tewas 3-1 kepada Real Sociedad, Ahad lalu.

Malah, beliau dilarang daripada berada di tepi padang apabila menentang Almeria hujung minggu ini kerana digantung perlawanan gara-gara memanggil pembantu jurulatih Sociedad, Txema Lumbreras bodoh dalam perlawanan minggu lalu.

Bintang tengah Barcelona, Xavi Hernandez juga gagal menyembunyikan rasa kecewa sekadar diletakkan di bangku simpanan pada perlawanan itu.

“Saya memang kecewa kerana tidak dapat bermain dan saya benci tidak dapat beraksi di atas padang. Tetapi anda tidak boleh membantah keputusan jurulatih.

“Semua orang meletakkan kesalahan 100 peratus kepada jurulatih. Itu tidak adil.

“Kami semua bersalah, tidak kira menang atau pun kalah. Kita semua tidak dapat lari daripada kesilapan,” kata Xavi.

Martino membawa masuk pemain tengah, Alex Song bagi menggantikan Xavi, namun malangnya pemain itu menjaringkan gol sendiri sewaktu Barcelona gagal mengekang strategi permainan Sociedad.

Selepas perlawanan, Martino mengakui beliau gagal menyusun perancangan yang baik.

“Kami tidak pernah sesekali meragui kemampuan Martino. Sekarang, kami perlu melupakan perkara yang lepas dan memulakan episod baru,” kata Xavi lagi.

Barcelona sememangnya perlu membuka lembaran baharu selepas dibelenggu isu penipuan cukai melibatkan perjanjian pembelian penyerang Brazil, Neymar dari Santos.

Sport melaporkan, Barcelona memiliki senarai pendek jurulatih yang bakal menggantikan Martino yang masih memiliki baki semusim dalam kontraknya

Antara calon yang disebut adalah Jurgen Klopp, Diego Simeone, Ernesto Valverde, Luis Enrique dan Andre Villas-Boas. – AGENSI