Kim Swee umum Skuad Harimau Malaya esok

KUALA LUMPUR – Pengendali sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan bahawa beliau akan mengumumkan barisan pemain yang bakal menyertai skuad Harimau Malaya esok sebagai persiapan menentang Yemen pada perlawanan terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015, 5 Mac ini.

Ketika ditemui pemberita, Kim Swee mengakui beliau sudah mempunyai bayangan skuad yang akan dipanggil nanti, namun menegaskan pemain-pemain berkenaan adalah terdiri dalam kalangan mereka yang beraksi cemerlang dan merupakan pemain yang berada dalam kesebelasan utama pasukan negeri atau kelab masing- masing.

Bagaimanapun katanya, terdapat posisi tertentu yang memungkinkan beliau terpaksa mengambil kira pengalaman pemain berkenaan bersama skuad kebangsaan, ekoran dominasi pemain import dalam liga tempatan.

“Saya pernah bercakap perkara ini berulang kali, terutama di posisi tertentu yang mana pemain-pemain tempatan tidak menunjukkan prestasi yang baik. Jadi, kemungkinan besar saya perlu ambil kira pengalaman mereka.

“Sebagai contoh, seorang penyerang yang menjaringkan gol itu adalah pemain asing, macam mana saya hendak menilai posisi berkenaan. Jadi saya kena ambil pemain berpengalaman.

“Tetapi posisi lain dah tentu pemain yang beraksi secara tetap dengan kelab dan juga pemain yang menunjukkan aksi baik dalam perlawanan sejak beberapa minggu ini menjadi keutamaan saya,” katanya yang ditemui sewaktu menghadiri Seminar Siri Keupayaan Pentadbiran Kepimpinan Sains Sukan ISN-UPM di sini semalam.

Jelas beliau, berbeza pula dengan posisi seperti di bahagian pertahanan, jika pemain tetap sebelum ini seperti Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak jarang diberi peluang beraksi, alternatif lain perlu diambil, namun jika berlaku sebaliknya, tidak mustahil pemain kelahiran Negeri Sembilan itu berada dalam senarai beliau.

Mengulas mengenai peluang pemain tengah, Safiq Rahim dan bekas kapten Harimau Muda A, Mohd. Irfan Fazail, Kim Swee berkata, peluang kedua-dua pemain berkenaan bergantung kepada kekerapan aksi mereka bersama kelab masing-masing.

“Kalau pemain terbabit langsung tidak beraksi, sudah tentu saya tak boleh menilai mereka. Ini bermakna mereka akan terkeluar daripada senarai pemilihan. Tiada alasan untuk saya panggil mereka.

“Namun bagi Safiq pula, dia bermain dengan baik, anda boleh lihat dia bermain secara tetap, jadi saya tak lihat akan memberi masalah besar kepada saya untuk memanggilnya,” ujarnya.

Bercakap mengenai kapten skuad kebangsaan, beliau berkata, terdapat dua atau tiga pemain yang berada dalam penelitiannya untuk diberikan tanggungjawab tersebut dan kemungkinan calon berkenaan merupakan pemimpin baharu dalam pasukan. – Utusan