Kim Swee tidak bimbang jentera serangan Harimau Muda

PENGENDALI Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee enggan menekan butang panik berhubung ketumpulan jentera penyudahnya menjelang aksi Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Brisbane, Australia yang bakal membuka tirainya dari Mac hingga Ogos depan.

Biarpun hanya meledak tiga gol dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini, Kim Swee percaya pengalaman dan pendedahan yang bakal diperoleh skuad muda negara itu di NPL lebih menjadi keutamaan menjelang temasya Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan pada September depan.

Ketiadaan dua penggempur muda negara, A. Thamil Arasu dan Ahmad Hazwan Bakri yang kini bersama Selangor, juga tidak meresahkan beliau biarpun pernah membayangkan hasrat meminjam dua penyerang itu bagi mengharungi saingan NPL Queensland sebelum ini.

“Masa sudah semakin singkat, jadi sukar untuk saya mendapatkan khidmat Thamil dan Hazwan menerusi pinjaman, lagipun perancangan tersebut hanyalah pelan B.

“Namun, pendedahan dan pengalaman lebih menjadi keutamaan saya sepanjang di Australia kelak.

“Jadi, tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan biarpun tanpa kehadiran Thamil dan Hazwan bagi mengharungi saingan Liga NPL Queensland nanti,” katanya kepada Kosmo! kelmarin.

Terdahulu dalam tiga aksi persahabatan sebelum ini, skuad muda negara sekadar seri tanpa jaringan bersama Selangor PKNS kelmarin, selain seri 1-1 dengan Melaka United dan menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga gol skuad Harimau Muda A dalam kesemua aksi persahabatan sebelum ini dijaringkan oleh Kenny Pallraj, Muhammad Ferrsi Danial Mat Nasir dan D. Saarvindran.

Mengulas lanjut, Kim Swee juga percaya barisan pemain muda negara mampu meraih pengalaman berguna termasuk sekurang-kurangnya menamatkan saingan dalam kelompok lima pasukan terbaik dalam NPL Queensland nanti.

“Biarpun ia bukan liga utama Australia, saya percaya ia merupakan medan yang sesuai buat pemain meraih pengalaman sebagai persediaan sebelum temasya Sukan Asia.

“Harus diingat, temasya Sukan Asia lebih menjadi keutamaan saya dan Harimau Muda A,” katanya.

Menjelang liga NPL Queensland, skuad kendalian Kim Swee telah kehilangan 10 pemain utama atas pelbagai faktor termasuk melebihi usia 23 tahun selain ada pemain yang tidak menyambung kontrak.

Selain Thamil dan Hazwan, antara pemain yang berhijrah termasuk Mohd. Irfan Fazail, Mohd. Fadhli Shas serta Mohd. Izham Tarmizi.- Kosmo