Kim Swee sudah ‘blacklist’ nama Mat Yo


Karier bola sepak Norshahrul Idlan Talaha bersama Harimau Malaya mungkin sudah menemui titik noktah. Setidak-tidaknya, selagi Datuk Ong Kim Swee melatih pasukan itu.

Ini kerana Kim Swee tidak berpuas hati dengan cara penyerang Johor Darul Ta’zim itu menolak panggilan untuk menyertai latihan skuad kebangsaan yang bermula Rabu lalu, selain jurulatih sementara itu tidak diberitahu alasan sebenar.

Kim Swee jelas begitu terasa hati dengan sikap pemain berasal dari Besut, Terengganu itu sehinggakan beliau seperti sudah berpatah arang dengan sikap bekas pemain Kelantan itu yang menurutnya seperti tidak berminat menyarung jersi keramat negara.

Tegas Kim Swee, berkemungkinan besar beliau tidak akan lagi memanggil pemain yang dipanggil Mat Yo itu selagi masih bergelar jurulatih bersama skuad Harimau Malaya selepas apa yang terjadi.

“Bagi saya cukup mudah, mana-mana pemain yang tidak menyertai latihan selepas dipanggil, maknanya mereka tidak berminat untuk menyarung jersi negara berdasarkan alasan-alasan yang diberikan.

“Sama ada dia akan dikenakan tindakan tatatertib atau tidak, saya serahkan kepada budi bicara pihak pengurusan untuk tentukan, saya tidak mahu sentuh. Sama ada saya tidak lagi memanggilnya pada masa akan datang, ada kemungkinan besar saya berbuat demikian.

KIM Swee (kanan) hanya mahu fokus terhadap pemain yang benar-benar ingin sarung jersi negara.

Katanya, beliau tidak tahu mengenai alasan peribadi Norshahrul atau turut dikenali Mat Yo untuk meminta pengecualian daripada menjalani latihan pusat kebangsaan selain daripada urusan menunaikan umrah pada 3 Mac depan.

“Saya tidak tahu alasan peribadinya (Norshahrul) kerana dia hanya memaklumkan kepada pengurus pasukan (Datuk Seri Subahan Kamal). Menerusi perbualan telefon sebelum ini, saya memintanya datang melaporkan diri (Rabu lalu) dan membawa bersama surat, selepas itu dia boleh mendapat pelepasan, tapi dia tidak datang.

“Saya tidak kecewa dengan tindakannya, bagi saya sesiapa yang gagal hadir untuk menyarung jersi negara bermakna mereka tidak berminat. Kita mempunyai alasan tersendiri tapi yang mustahak di sini keutamaan kepada negara. Saya tidak mempunyai masalah dengan ketiadaan Mat Yo kerana kita masih mempunyai Bobby (Gonzales), Ahmad Fakri (Saarani), Safee Sali dan Baddrol Bakhtiar,” kata Kim Swee semalam.

Noshahrul yang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim mencetuskan kontroversi apabila gagal melaporkan diri Rabu lalu bersama dengan 24 lagi pemain pelatih skuad kebangsaan namun penyerang berpengalaman berusia 27 tahun itu diberikan pengecualian selepas mengadakan pertemuan dengan Subahan.

Dalam perkembangan lain, Kim Swee sempat memuji komitmen dan kesungguhan barisan pemain skuad Harimau Malaya yang gigih menjalani latihan untuk menghadapi aksi kelayakan Piala Asia menentang Yemen nanti.

“Saya nampak peningkatan sedikit demi sedikit terutama daripada segi sikap pemain dan mereka telah memberikan kerjasama yang cukup baik.

“Saya berharap komitmen seperti ini terus dikekalkan kerana kita hanya memiliki kurang 10 hari sahaj lagi sebelum aksi persahabatan menentang Filipina,” tegasnya.