Khairy minta FAM kaji larangan bawa kayu bendera

KUALA LUMPUR – Segelintir penyokong dan juga ultras di beberapa negeri tidak bersetuju dengan pekeliling terbaharu dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang melarang mereka membawa tiang atau objek keras ke dalam stadium untuk mengikat bendera, dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta badan induk tersebut mengkaji semula arahan itu.

Menurut Khairy, beliau memahami perasaan dan kehendak penyokong yang ingin membawa kayu atau tiang untuk mengibarkan bendera pasukan masing-masing.

Sehubungan itu beliau meminta FAM menilai kembali peraturan tersebut seperti amalan di peringkat antarabangsa.

“FAM perlu melihat perkara ini berdasarkan undang-undang antarabangsa. Jika betul kayu itu boleh menjadi senjata maka (larangan) perlu dipatuhi oleh peminat bola sepak tempatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

FAM mengeluarkan pekeliling tersebut Selasa lalu dengan memohon persatuan bola sepak negeri dan kelab bekerjasama dengan pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) bagi memastikan penyokong pasukan tidak membawa barang dilarang.

Ujar Khairy, FAM perlu melihat kembali perkara tersebut selepas menerima banyak respons di media sosial yang meminta agar tiang, kayu atau sebarang objek keras dibenarkan kerana digunakan untuk mengikat bendera pasukan yang disokong.

“Saya hanya meminta FAM mengkaji perkara ini berdasarkan peraturan dan norma antarabangsa, sama ada benda ini mempunyai risiko untuk dijadikan sebagai senjata. Mereka perlu memahami permintaan penyokong,” katanya.

Beliau juga meminta agar FAM mengambil tindakan dengan cepat tentang isu samseng bola sepak agar tidak merebak sehingga mengancam keselamatan serta mengganggu penyokong lain.

“Samseng bola sepak bukan perkara baharu, sebelum ini pun memang ada sebilangan kecil kumpulan penyokong yang ganas, tetapi tidak sampai ke tahap mengganggu penyokong lain dengan menggunakan kekerasan seperti mana yang kita dapat lihat beberapa minggu lepas.

“Saya sudah membangkitkan perkara ini kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, agar perlawanan bola sepak tidak menjadi persekitaran yang bahaya kepada anak-anak kecil, saya tidak mahu mereka merasakan diri mereka berada dalam keadaan bahaya sebab pergaduhan tercetus,” katanya.

Tambahnya, FAM perlu menangani isu samseng bola sepak ini dengan tegas seperti dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak England pada era 80-an dan 90-an apabila mereka bekerjasama dengan pihak polis dan stadium. – Utusan