Khairy mahu siasat dengan adil, Presiden PBSNT anggap bola sepak kampung

Kuala Terengganu: “Seperti bola sepak kampung,” itu luahan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang kesal dan tidak berpuas hati berhubung insiden yang menimpa penyerang import T-Team, Evaldo Rodrigues yang didakwa ditumbuk pengurusan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) manakala jurulatih kecergasan, Stefano Impagiazzo dikasari pegawai keselamatan pada perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam kelmarin.

Wan Ahmad Nizam berkata, beliau meminta siasatan terperinci dijalankan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengetahui siapa yang bersalah dalam insiden itu selain menjaga maruah bola sepak tanah air.

“Saya akui insiden menimpa pemain T-Team yang ditumbuk hingga hidung berdarah dan dikasari amat mendukacitakan serta memalukan kerana sepatutnya perkara sebegini tidak berlaku dalam era bola sepak profesional, tapi apa yang berlaku sebaliknya.

“Saya akan minta Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Ab Rasid Jusoh membuat laporan polis supaya insiden itu tidak akan berulang sambil menyerahkan kebijaksanaan badan induk bola sepak negara membuat keputusan berhubung isu itu,” katanya.

“BOLEH tahan (kecederaan) hidung yang dialami pemain saya.” Demikian respons pengurus T-Team, Rozi Mamat ketika ditanya mengenai keadaan pemain import Brazil, Elvado Rodrigues yang didakwa dikasari dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain pada aksi pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam kelmarin.

Pada perlawanan tersebut, The Titans mengambil keputusan untuk tidak meneruskan aksi separuh masa kedua ketika menentang JDT yang menyaksikan tuan rumah mendahului 2-1.

Keputusan tersebut dibuat atas faktor keselamatan kerana T-Team menganggap kawalan keselamatan mula tergugat selepas Rodrigues dan jurulatih kecergasan pasukan, Stefano Impagliazzo dikasari ketika menuju ke bilik persalinan.

Mengulas lanjut, Rozi yang juga Exco Belia dan Sukan Terengganu memberitahu, pihaknya berhak untuk tidak meneruskan perlawanan tersebut atas faktor keselamatan.

“Sejujurnya, saya tidak berada di Larkin pada aksi semalam (kelmarin). Saya hanya dimaklumkan oleh pegawai T-Team bahawa berlaku kekecohan di sana (Larkin).

“Saya berpendapat, kami berhak untuk tidak meneruskan perlawanan separuh masa kedua itu atas faktor keselamatan pemain. Adalah wajar kami tidak menyambung aksi separuh masa kedua itu.

“Mengenai laporan polis, saya rasa tidak perlu kerana kami akan menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Cuma, saya sedikit kesal kerana kami sentiasa memberikan layanan dan keselamatan yang terbaik kepada pasukan pelawat ketika bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pemain import T-Team, Evaldo Rodrigues (kanan) dan jurulatih kecergasan, Stefano Impaglaizzo tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu

“Selain FAM, kami turut menyerahkan perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu memandangkan T-Team adalah di bawah naungan persatuan negeri.

“Sama ada ada tindakan susulan akan berlaku nanti, saya rasa adalah lebih baik soalan ini diajukan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selaku penasihat kedua-dua pasukan ini sebaik pulang dari Antartika pada Selasa ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, mana-mana pegawai yang didapati bersalah dalam insiden tersebut bakal berdepan dengan tindakan tegas.

“Jika ada pegawai atau pemain yang melanggari peraturan pertandingan akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut,” katanya.

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu insiden kekecohan yang berlaku dalam terowong menuju ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru malam kelmarin disiasat tanpa berat sebelah.

“Isu ini sangat serius malah ramai yang menyaksikan kejadian itu berlaku. Ia akan disiasat sepenuhnya dengan telus,” respons Khairy menerusi laman Twitternya semalam.

Isnin penentu

Pemain dan pegawai yang terbabit dalam insiden kekecohan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam kelmarin akan dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) andai terdapat bukti mereka melanggar kod tatatertib pertandingan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan penuh daripada pengadil, komisioner perlawanan, koordinator perlawanan dan kedua-dua pasukan berhubung insiden itu, hari ini.

“Jika ada bukti pegawai atau pemain melanggar peraturan tatatertib pertandingan, mereka akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.