Keputusan FAM beri semangat baru buat JDT

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berpihak kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kemenangan 3-0 ke atas T-Team pastinya memberi semangat baharu buat pasukan JDT dalam mengharungi dua perlawanan penting dalam tempoh terdekat ini.

Dalam saingan Liga Super 2014, JDT bertandang ke Stadium Darul Makmur untuk menentang Pahang malam ini, manakala pada 11 Februari pula, JDT akan menerima kunjungan Kedah untuk saingan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Dengan keputusan itu, ia sedikit sebanyak memberikan perkembangan positif dari segi moral kepada pasukan Harimau Selatan selepas dibelenggu dengan insiden 1 Februari lalu.

Dalam pada itu, Kelab Penyokong Bola Sepak Johor berpuas hati dan menerima keputusan yang dibuat FAM dengan rasa penuh kesyukuran.

Presidennya, Azlan Afandi Sauffee Afandi berkata, peluang itu perlu dimanfaatkan JDT untuk lebih bersedia menentang Kedah pada pusingan suku akhir Piala FA pada 11 dan 18 Februari ini.

Menurutnya, semua pasukan yang melangkah ke peringkat suku akhir itu pastinya akan lebih serius dalam misi memburu slot, seterusnya menjulang Piala FA yang sebelum ini dimiliki Kelantan.

“Kita gembira dan berpuas hati dengan keputusan FAM yang berpihak kepada JDT untuk melangkah ke pusingan suku akhir bertemu Kedah nanti.

“Apa yang kita harapkan JDT lebih bersedia dan menggunakan peluang keemasan ini untuk beraksi dengan lebih cemerlang, apatah lagi Kedah juga bukan calang-calang lawan,” katanya, semalam.

Azlan Afandi berkata, keputusan yang berpihak kepada JDT pastinya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong lain terutama T-Team itu sendiri.

Bagaimanapun katanya, penyokong perlu menghormati keputusan FAM yang sudah semestinya meneliti bukti-bukti dengan lebih terperinci sebelum mencapai keputusan yang diumumkan ini.

“Kita tak boleh paksa orang lain untuk berpuas hati dengan keputusan ini kerana ini adalah keputusan FAM yang telah bermesyuarat melalui Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Khas untuk memperoleh keputusan ini.

“Buat apa nak gaduh-gaduh kerana sepatutnya sukan untuk menyatupadukan masyarakat pelbagai lapisan peringkat umur,” katanya.

Katanya, barisan jentera JDT yang pastinya berdepan tekanan angkara insiden itu diharap lebih fokus pada perlawanan seterusnya untuk mencapai misi menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

“Tanggapan negatif tidak perlu dilayan, begitu juga dengan penyokong JDT. Apa yang penting fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya. – SH