Kecoh lelaki masuk kandang harimau di zoo

CHENGDU, China – Seorang lelaki bertindak memasuki kandang harimau untuk memberi makan pada seekor harimau di sebuah zoo di sini, lapor akhbar MailOnline kelmarin.

Beberapa pengunjung merakam aksi lelaki yang dikenali sebagai Yang Jinhai itu memanjat kandang binatang buas tersebut dan mendekati seekor harimau Benggala.

Lelaki yang berusia 20 tahun itu dilaporkan berasa sedih kerana salah satu daripada harimau itu kelihatan lapar.

Dia kemudian membuat keputusan memanjat masuk ke dalam kandang harimau itu untuk memberi haiwan berkenaan makan nasi perang yang disimpan di dalam beg galasnya.

Berdasarkan laporan laman berita Shanghaiist.com, saksi-saksi berkata, dia menjerit ke arah harimau dan menari di sekeliling kandang itu.

Salah satu haiwan itu kelihatan cemas dan berundur manakala seekor harimau lagi menerkam ke arahnya.

Namun, Jinhai bernasib baik kerana seorang penjaga zoo berkenaan berjaya menghalang harimau itu dan membawa lelaki itu ke tempat selamat.

“Sekiranya harimau itu spesies harimau Siberia, saya tidak dapat membayangkan apa yang akan berlaku kepada lelaki itu,,” kata seorang pekerja zoo tersebut kepada akhbar West China City Daily.

Seorang jirannya berkata, lelaki berkenaan pernah mengalami masalah mental sebelum ini. – Agensi

j