Kecederaan, kurang pengalaman punca T-Team tercorot liga

KUALA TERENGGANU, 20 Feb (Bernama) — Kecederaan beberapa pemain import dan pemain muda kurang pengalaman menjadi punca pasukan kelab T-Team tercorot dalam carta kedudukan Liga Super selepas lima perlawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Rozi Mamat, berkata pelaburan besar yang telah dibuat dalam membentuk pasukan tersebut sepatutnya membawa pulangan yang memberangsangkan.

Sebalik, prestasi buruk pasukan itu agak mengecewakan, kata Rozi, yang juga pengurus pasukan, kepada pemberita di sini Khamis.

Selepas mengharungi lima perlawanan dalam Liga Super, pasukan bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah hanya mengumpul empat mata iaitu menang satu perlawanan menentang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan seri dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pasukan bergelar ‘The Titians’ itu kalah kepada Selangor, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, Rozi berkata adalah terlalu awal untuk menghukum presembahan pasukan itu memandangkan pasukan yang ditemui mereka setakat ini adalah antara yang terbaik dalam saingan musim ini.

Beliau yakin pasukan itu mampu memperbaiki kelemahan yang sedia ada apabila Liga Super bersambung semula, 8 Mac ini. — BERNAMA