Jual anak untuk sertai pertandingan nyanyian

Guizhou: Seorang lelaki, Zhou dipenjara lima tahun selepas menjual anaknya semata-mata untuk mendapatkan wang bagi membolehkan dia menyertai satu pertandingan bakat.

Zhou menyertai pertunjukan bakat tahun lalu tetapi gagal memasuki pusingan akhir selepas menghabiskan wang untuk membayar yuran penyertaan dan kos pengangkutan.

Lelaki itu yang amat gemar menyanyi tetapi tidak mempunyai modal, akhirnya mengambil keputusan menjual anaknya, supaya dia boleh menyertai lebih banyak pertandingan nyanyian.

Dia mengiklankan di Internet mengenai hasrat untuk menjual anaknya berusia empat bulan, kononnya isterinya sudah meninggalkan mereka dan tidak berupaya membesarkan kanak-kanak itu bersendirian.

Seorang wanita bersetuju membelinya dan dia menjual bayi itu dengan harga 10,000 yuan (RM5,400).

Apabila isterinya menyedari anak mereka hilang, dia membuat laporan polis dan Zhou ditangkap selepas soal siasat. – Agensi