Jawatan Presiden, Timbalan Presiden FAM boleh dicabar

PETALING JAYA – Mesyuarat Pemilihan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 25 Mei ini bakal menjadi tumpuan utama dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden terbuka untuk dicabar.

Badan bola sepak kebangsaan itu menetapkan 25 Mei ini sebagai tarikh mesyuarat pemilihan, malah surat pencalonan juga akan mula dihantar kepada ahli gabungan esok.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, ahli gabungan diberi tempoh sebulan untuk menghantar pencalonan kepada pihak Sekretariat sebelum tarikh tutup pada 19 April.

Selain Presiden dan dua kerusi Timbalan Presiden, 15 lagi jawatan dipertandingkan, termasuk dua exco wanita, dua kerusi baharu yang diperuntukkan khas untuk wanita mengikut statut baru FIFA (Persekutuan Bola Sepak Dunia) – AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).

“Pada mesyuarat hari ini, kami bersetuju mengadakan kongres pemilihan ahli Jawatankuasa Eksekutif penggal 2014-2018 pada 25 Mei ini dengan 20 ahli gabungan layak untuk mengundi.

“Setiap ahli gabungan mempunyai dua undi dengan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, hanya diberi satu undi yang menjadikan jumlah keseluruhan adalah 39.

“Badan gabungan boleh mencadangkan sesiapa sahaja, tidak kira calon itu berada di luar badan gabungan dan sekiranya mendapat satu pencalonan pun, dia layak untuk bertanding, ” katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.

Antara jawatan lain yang akan dipertandingkan adalah Naib Presiden (empat) dan 10 ahli jawatankuasa Eksekutif, termasuk dua wanita.

Dalam masa sama, Hamidin mengumumkan pelantikan Abang Zulkarnain Abdul Rahman dan Lazarus Xavier sebagai Penolong Setiausaha Agung FAM yang terbaharu.

“Abang Zulkarnain yang sebelum ini Ketua Jabatan Pertandingan Antarabangsa FAM akan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung bagi hal-ehwal tempatan.

“Lazarus Xavier, bekas Pengarah Undang-Undang AFC pula berada dalam hal ehwal antarabangsa,” katanya lagi.

Selain itu, Hamidin berkata, bagi meningkatkan mutu pengadilan yang sebelum ini dikecam teruk, FAM dalam proses membeli set alat komunikasi yang akan digunakan oleh setiap pengadil.

“Set alat komunikasi ini akan diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan dan kemungkinan digunakan sepenuhnya pada tahun hadapan.

“Kita juga bercadang menambahkan elaun kepada pengadil dan meletakkan tambahan dua pengadil (sebelah pintu gol setiap pasukan) bagi menjadikan jumlah keseluruhan enam pengadil setiap perlawanan, ” katanya. – Utusan