Isu rasuah: KLFA kecewa keputusan FAM

KUALA LUMPUR – Pelik, terkejut dan kecewa.

Itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa sebaik menerima keputusan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan mengeluarkan surat pertuduhan kepada enam pemimpin atasan KLFA berhubung gejala mengatur perlawanan dan rasuah.

Bukan sekadar itu, beliau juga terkilan mengapa 17 pemain yang didakwa hanya dikenakan hukuman ringan iaitu denda RM5,000 selain terlepas daripada sebarang penggantungan dan tiba-tiba penaja pula dikaitkan sebagai dalang sebenar.

Mengakui berada di Wisma FAM semasa mendengar keputusan dijatuhkan, Nokman berkata, beliau berasakan pihaknya seperti ‘kambing hitam’ dalam isu rasuah sedangkan pucuk pimpinan atasan KLFA sendiri menjadi pihak pertama membawa perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

”Memang rasa terkejut dan macam tidak masuk akal dengan keputusan yang diberikan. Kenapa kami pula yang disalahkan dalam isu rasuah ini manakala pemain-pemain boleh terlepas sedangkan pihak kami yang menjadi pengadu dan mahu membersihkan apa yang berlaku.

“Apa pun, kami mahu tengok dulu surat pertuduhan yang akan dikeluarkan oleh FAM selain berbincang dengan peguam dan merujuk kepada SPRM. Kami berani berhadapan FAM jika dipanggil,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak, kelmarin mengatakan 17 pemain Kuala Lumpur menjadi mangsa keadaan dan terpaksa mengikut arahan pihak penaja.

Malah, Taufek menyalahkan pihak pengurusan KLFA tidak bertindak dalam isu berkenaan walaupun mendapat maklumat daripada pemain dan satu surat pertuduhan akan dikeluarkan kepada enam pemimpin yang telah dikenal pasti selain mengakui sudah tahu dalang sebenar dalam isu rasuah berkenaan iaitu pihak penaja pasukan Kuala Lumpur.

Menjelaskan lagi keadaan, Nokman berkata, jika benar mereka bersubahat dalam isu gejala mengatur perlawanan, sudah tentu mereka tidak akan melaporkan sendiri perkara itu kepada pihak SPRM.

”Kami sendiri yang mahu isu ini disiasat dengan awal-awal lagi melaporkan kepada pihak SPRM dan memberi segala kerjasama serta maklumat yang mereka mahukan semenjak siasatan dimulakan selepas melihat memang ada tidak kena dengan pasukan ini,” katanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai sebab untuk berasa bimbang dengan kemungkinan gejala rasuah dan mengatur perlawanan akan terus menghimpit kancah bola sepak tanah air apabila penaja yang didakwa menjadi dalang dalam kes rasuah skuad Kuala Lumpur didapati turut menaja pasukan Liga Perdana musim ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak yang memaklumkan beliau sudah memberitahu perkara berkenaan kepada Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai perkembangan terbaru itu.

“Masalah sekarang penaja pasukan Kuala Lumpur tahun lalu kini turut menaja sebuah pasukan Liga Perdana. Saya harap pemantauan akan segera dilakukan,” katanya yang enggan mendedahkan nama pasukan terbabit.