Isu Rasuah: FAM Denda 17 Pemain KL RM5,000 Setiap Seorang

PETALING JAYA, 3 Feb (Bernama) — Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda 17 pemain pasukan Kuala Lumpur sebanyak RM5,000 setiap seorang selain diberikan amaran keras selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufik Abdul Razak berkata kesemua 17 pemain berkenaan hanya dikenakan denda selepas FAM mengambil kira faktor bahawa pemain menjadi ‘mangsa keadaan’ penaja yang mendesak mereka untuk terlibat dengan skandal berkenaan.

Katanya, para pemain skuad warga kota telah diugut oleh penaja supaya tidak melaporkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa sehingga menyebabkan mereka bimbangkan keselamatan anggota keluarga masing-masing.

“Perjanjian antara Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dengan penaja bertarikh 12 Nov 2012 sedangkan perjanjian (sebenar) dibuat pada 11 Dis iaitu dua hari sebelum berakhirnya tempoh pendaftaran pemain.

“Jawatankuasa berpendapat ia sengaja dirancang oleh pihak penaja…dalangnya ada cuma kita tidak boleh mendedahkan namanya atas faktor keselamatan. Kita akan merujuk (kes ini) kepada pihak atasan (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis) untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Taufik berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, Isnin.

Pemain berkenaan ialah Azizon Abdul Kadir, Benedict Martin, Muhammad Syazwan Mohamed Rani, J. Mughilan Kartik, Muhamad Azwan Jatin, S. Sivaraj, Mohamad Amirul Asraf Mohd Noor, Ahmad Dashila Tajudin, Hishamuddin Othman, Mohd Badrul Hisyam Azmi, Muhamad Ar’ra’uf Roslee, Muhammad Hanis Mohtar, Muhammad Rafef Raya, Muhammad Syafiq Johari, Mohd Munir Amran, Muhammad Taufiq Mohd Shukor, Ahmad Jihad Ismail.

Taufik berkata pemain skuad Kuala Lumpur pernah melaporkan skandal rasuah berkenaan kepada pengurusan KLFA namun tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan mereka (pengurusan pasukan) turut terikat dengan kontrak pihak penaja.

“Penaja meletakkan pelbagai syarat dan salah satu syaratnya ialah sebahagian daripada pengurusan pasukan hendaklah datang daripada pihak penaja (sendiri) dan gaji dibayar oleh pihak penaja.

“Sebelum bermulanya Liga Perdana (2012), penaja telah memanggil kesemua pemain di mana mereka hendaklah mengikut segala arahan yang dikeluarkan dan menyebabkan mereka bermain tidak mengikut semangat kesukanan yang sebenar sehingga melepaskan 60 gol selain turut kalah 16 perlawanan,” katanya.

Pada 20 Dis lepas, Jawatankuasa Tatatertib FAM menjatuhkan hukuman penggantungan seumur hidup selain denda berjumlah RM20,000 kepada lima pemain skuad warga kota yang didapati bersalah dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Mereka adalah Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie, Jeremy Danker dan Hafizi Roslee.

Selain itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Stanislav Lieskovsky dari Slovakia, penolong pengurus Rosli Omar dan pegawai pasukan, Saari Jani yang didapati bersalah oleh jawatankuasa berkenaan, turut menerima hukuman yang sama. — BERNAMA